Kanak-kanak hilang dalam hutan selepas 'dihukum' ibu bapa ditemui selamat

Agensi
Jun 3, 2016 04:08 MYT
Kanak-kanak itu tidak mengalami kecederaan dan dalam keadaan sihat, ditemui di dalam kem askar. - Gambar fail
Kanak-kanak berusia tujuh tahun yang hilang di sebuah kawasan hutan dikenali sebagai habitat beruang selepas ditinggalkan bapanya sebagai satu bentuk hukuman, ditemui selamat pada Jumaat.
Kanak-kanak dilaporkan oleh agensi AFP tidak mengalami kecederaan dan dalam keadaan sihat ditemui di dalam kem askar pada jam 7.50 waktu tempatan, menurut jurucakap polis.
“Seorang pegawai menemui seorang kanak-kanak lelaki berusia sekitar tujuh tahun,” jurucakap itu dipetik sebagai berkata hari ini.
“Tiada kecederaan luar dan dia memperkenalkan dirinya sebagai Yamato Tanooka,” tambah jurucakap itu lagi.
Kanak-kanak itu dihantar ke hospital untuk pemeriksaan lanjut menaiki helikopter.
Dia dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu selepas ditinggalkan ibu bapanya di sebatang jalan berhampiran hutan tersebut, sebagai satu bentuk hukuman kerana nakal.
Ibu bapa Tanooka pada mulanya membuat laporan polis mendakwa anak mereka hilang sewaktu mereka sekeluarga keluar memetik sayuran, namun kemudiannya mengakui meninggalkannya di tepi jalan selepas kanak-kanak itu membaling batu ke arah orang ramai dan kenderaan.
Akhbar tempatan Hokkaido Shimbun melaporkan, kanak-kanak itu mencari perlindungan di kem askar itu yang terletak kira-kira 5.5 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.
Usaha mencari kanak-kanak itu melibatkan anggota polis dan askar, namun menemui jalan buntu memandangkan kawasan hutan yang tebal selain cuaca hujan.
Polis kini sedang menimbang untuk memfailkan dakwaan ke atas ibu bapa kanak-kanak itu, menurut portal Kyodo News.
“Saya kasihankan anak saya, dan saya minta maaf kerana menyusahkan ramai orang,” kata bapa kanak-kanak itu dalam satu laporan televisyen awal minggu ini.
#Jepun #kanak-kanak hilang #Yamato Tanooka