Kanak-kanak Gaza terperangkap dalam kitaran kesakitan - UNICEF

Bernama
Oktober 18, 2024 23:53 MYT
Hari demi hari kita melihat kesan ngeri serangan udara harian dan operasi ketenteraan ke atas kanak-kanak Palestin. - Reuters
GENEVA: Jurucakap Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) James Elder menyifatkan Gaza sebagai penjelmaan dunia sebenar 'neraka di bumi' bagi sejuta kanak-kanaknya, lapor Agensi Berita Emirates (WAM).
Dalam sidang media pada Jumaat, beliau menyatakan bahawa keadaan di Semenanjung Gaza "semakin teruk, hari demi hari kerana kita melihat kesan ngeri serangan udara harian dan operasi ketenteraan ke atas kanak-kanak Palestin."
Beliau menegaskan bahawa walaupun usaha besar daripada semua agensi bantuan, kanak-kanak terus mengalami penderitaan harian yang sukar digambarkan dengan kekurangan makanan, air dan ubat-ubatan, sambil menambah bahawa "zon kemanusiaan yang dikatakan - selain kekurangan makanan, air dan ubat-ubatan - ia juga telah dibom."
Jurucakap UNICEF mendedahkan bahawa hanya 80 trak yang membawa bantuan makanan atau air dibenarkan memasuki utara Gaza sejak 2 Oktober, memperbaharui rayuan berterusan UNICEF dan rakan-rakan PBB mereka untuk gencatan senjata jangka panjang yang mampan bagi membolehkan tawanan dibebaskan, menyambung semula trafik komersial dan menggunakan laluan tambahan untuk pengangkutan kargo yang selamat, sebagai tambahan kepada akses kemanusiaan tanpa halangan, serta pembiayaan bagi semua program mereka yang masih kekurangan dana yang kritikal.
"Al Mawasi membentuk sekitar tiga peratus daripada Gaza dari segi keluasan tanah. Sebelum konflik, ia mempunyai penduduk seramai 9,000 orang. Kini ia menampung sekitar 730,000 orang. Ia tidak mempunyai keupayaan untuk menampung populasi sebesar itu. Kebanyakan kawasannya adalah bukit pasir," tambahnya.
-- BERNAMA
#Kanak-kanak #Gaza #Palestin #penderitaan #serangan Israel #UNICEF
;