Kanak-kanak Gaza main permainan usung-usung jenazah
Sinar Harian
Oktober 28, 2023 13:02 MYT
Oktober 28, 2023 13:02 MYT
"ALLAH menyayangi para syuhada, Allah menyayangi para syuhada."
Demikian ucapan sekumpulan empat kanak-kanak perempuan Palestin semasa sedang bermain satu permainan di kawasan koridor sebuah pusat perlindungan di utara Gaza.
Dalam permainan tersebut, kesemua kanak-kanak yang berusia sekitar empat dan enam tahun itu dirakam mengangkat bayi di dalam kerusi kereta.
Ia kelihatan seperti permainan biasa yang menyeronokkan dan memberikan keceriaan kepada anak-anak comel tersebut selepas kediaman keluarga mereka musnah dibedil roket Israel.
Namun, apa yang menyedihkan, keempat-empat mereka sebenarnya bermain sebagai anggota paramedik, manakala kerusi kereta sebagai pengusung dan bayi di dalamnya pula adalah syuhada yang terkorban akibat serangan udara rejim Zionis.
Berikut adalah perbualan kanak-kanak tersebut dengan seorang lelaki yang merakam gelagat mereka.
Perakam video: Permainan apakah ini?
Budak perempuan 1: Kami sedang bermain syuhada.
Budak perempuan 2: (Sambil ketawa) Ini adik saya. Dia jadi syuhada dan kami mengusungnya.
Perakam video: Apa yang awak beritahu dia?
Semua menjawab: Syuhada adalah kekasih Allah.
Perakam video: Baiklah. Pergi letakkan dia semula, cepat.
Akhbar Arab News sebelum ini melaporkan kanak-kanak Gaza semakin kerap menunjukkan gejala-gejala trauma selepas lebih dua minggu hidup dalam situasi pengeboman bertubi-tubi askar Israel serta ketiadaan tempat berlindung yang benar-benar selamat daripada ancaman peluru tentera Zionis.
Daripada 2.3 juta populasi Gaza, separuh daripadanya terdiri daripada kanak-kanak.
Dengan keadaan konflik yang semakin buruk, sebahagian besar daripada mereka memenuhi pusat-pusat perlindungan di beberapa buah sekolah yang dikendalikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selepas melarikan diri dari rumah bersama keluarga.
Sebelum ini, kanak-kanak di Gaza turut dirakam menulis nama mereka pada kaki, tangan atau badan bagi memudahkan pengecaman identiti sekiranya tubuh mereka berkecai akibat serangan bom tentera Israel.
Perkara itu didedahkan Ketua Pengarah Perhubungan Awam Kementerian Pendidikan di Gaza, Abu Ayesh susulan kesukaran dihadapi anggota penyelamat dan kakitangan hospital bagi mengenal pasti identiti atau serpihan mayat mangsa yang ditemui di lokasi dibom tentera Israel. - Sinar Harian memetik agensi