Kanak-kanak enam tahun selamat selepas terjatuh dari tingkat lima
Astro Awani
April 9, 2021 12:00 MYT
April 9, 2021 12:00 MYT
SEORANG kanak-kanak berusia enam tahun terselamat selepas terjatuh dari tingkat lima sebuah pangsapuri di Buenos Aires, Argentina pada Selasa.
Akibat kejadian itu, kanak-kanak tersebut mengalami beberapa kecederaan serius termasuk patah tulang serta kecederaan pada hati dan limpa.
Mangsa kini sedang menerima rawatan dalam unit rawatan rapi di sebuah hospital di Puerto Madero.
Menurut akhbar tempatan La Nacion, mangsa sedang bermain bersama adiknya berusia 4 tahun sambil diawasi bapa saudaranya ketika kejadian.
Bagaimana kanak-kanak tersebut boleh terjatuh daripada unit pangsapuri itu masih tidak diketahui.
Menurut polis, mangsa terjatuh ke atas sebuah bangsal yang terletak di tingkat bawah kawasan perumahan berkenaan dan ini telah mengurangkan jarak dia terjatuh sebanyak 30 kaki.
Namun kanak-kanak tersebut ditemui dalam tidak sedarkan diri oleh petugas kecemasan.
Ibu mangsa memberitahu polis dia meninggalkan kedua-dua anaknya itu untuk pergi ke pasar raya berdekatan.
Mangsa kini ditempatkan di Hospital Kanak-Kanak Pedro de Elizalde dan berada dalam keadaan stabil serta tidak memerlukan bantuan pernafasan.
"Dia tidak memerlukan bantuan pernafasan dan ada kalanya dia sedar dan boleh mengecam dan bercakap dengan ibunya," jelas petugas kesihatan di hospital tersebut.