Kanak-kanak dua tahun diseret buaya di taman tema Walt Disney, ditemui mati

Madiha Abdullah
Jun 16, 2016 09:00 MYT
Buaya biasa dilihat dan ditemui di Florida, terutama kawasan air tawar. - Gambar hiasan
Kanak-kanak lelaki dua tahun yang didakwa ditarik ke dalam lagun oleh seekor buaya di taman tema terkenal, Walt Disney World ditemui mati pasukan pencari dan penyelamat.
Mayat Lane Graves dari Nebraska ditemui dalam keadaan sempurna pada tengah hari Rabu (waktu tempatan), tidak jauh dari Hotel Grand Floridian Resort di mana saksi mendakwa melihat dia jatuh ke dalam lagun selepas ditarik oleh seekor buaya.
Menurut laporan CNN, ketua pasukan pencari, Jerry Demings mendedahkan kepada pihak media, Graves berkemungkinan besar mati akibat lemas.
Jasad mangsa hanya mengalami beberapa luka kecil.
Bapa Graves turut dilaporkan mengalami luka tidak serius dalam usaha menyelamatkan anaknya.
Pasukan mencari menemui mangsa kira-kira enam kaki di dasar air air yang keruh, kata Demings.
Kanak-kanak malang itu dilaporkan sedang bersiar-siar bersama ibu dan bapanya di sekitar kawasan resort milik Disney itu pada Selasa, sebelum masuk ke kawasan lagun dan bermain dengan air separas satu kaki.
Dia kemudiannya diserang dan ditarik oleh seekor buaya, dan cubaan ibu bapanya untuk menyelamatkannya tidak berjaya, lapor AFP.
Empat ekor buaya dilaporkan telah berjaya ditangkap, namun penyiasat belum pasti jika ada salah seekor antara buaya-buaya itu yang menyerang Graves.
Ini merupakan minggu yang tragis buat daerah Orlando.
Lewat minggu lalu, sebuah kelab malam menjadi sasaran seorang lelaki berusia sekitar 20-an yang melepaskan tembakan dan mengorban 49 individu dalam kejadian keganasan terbesar di negara Uncle Sam itu selepas tragedi 11 September.
#buaya #Disney World #Lane Groves #Resort Disney
;