Kanak-kanak dijumpai mati patah leher, dipercayai dibunuh ibu kandung
Agensi
Februari 16, 2018 12:53 MYT
Februari 16, 2018 12:53 MYT
Seluruh penduduk di sebuah kampung gempar apabila mendapat khabar tentang seorang kanak-kanak berusia dua setengah tahun yang dijumpai mati dalam keadaan yang memilukan, lapor media tempatan.
Dalam insiden yang berlaku di Desa Gondang, Subah, Batang, Jawa Tengah itu, kanak-kanak lelaki bernama Surya Aditya ditemui dengan kesan lebam, kesan cakaran dan cekikan.
Lebih mengejutkan, tulang leher kanak-kanak itu juga patah.
Orang pertama yang menemui keadaan Surya adalah datuknya sendiri, Basari, yang curiga dengan pintu bilik yang terkunci.
Basari menceritakan kepada media bahawa dia berulang kali cuba menghubungi ibu mereka mengggunakan telefon bimbit tetapi tidak dijawab.
"Oleh kerana tidak sabar lagi untuk mengetahui keadaan Surya di sebalik pintu yang terkunci itu, kami menerjah pintu itu hingga terbuka.
"Kami menjumpai cucu saya telah dibungkus dengan selimut dan bahagian mukanya ditutup bantal," kata Basari.
Berdasarkan keterangan beberapa saksi, kanak-kanak itu dipercayai mati di tangan ibu kandungnya sendiri.
Wanita itu sempat meninggalkan rumah itu sejurus kejadian.
Pihak polis memberitahu, suspek sudah berjaya dikesan seterusnya ditahan pihak polis Batang, dan kini sedang menjalani proses soal siasat sementara menanti laporan penuh forensik.