Kanak-kanak 'diculik' ibu bapa kandung ditemukan bawah tangga selepas 2 tahun
Agensi
Februari 17, 2022 16:41 MYT
Februari 17, 2022 16:41 MYT
NEW YORK: Seorang kanak-kanak perempuan yang dilaporkan hilang dua tahun lalu, ditemui dalam keadaan sihat di sebuah bilik rahsia yang telah diubah suai di bawah tangga pada Isnin di New York, Amerika Syarikat (AS).
Memetik BBC, berdasarkan siasatan awal, polis percaya ibu bapa kandung kanak-kanak itu, Kimberly Cooper, 33, dan Kirk Shultis Jr, 32, menculiknya selepas dinafikan hak penjagaan.
Paislee Shultis dilaporkan hilang dari Tioga County, New York, pada Julai 2019 ketika dia berusia empat tahun.
Berdasarkan maklumat orang ramai, polis menyerbu kediaman yang dipercayai menjadi lokasi kanak-kanak itu disembunyi.
Pemilik rumah tersebut, Kirk Shultis Sr, yang juga datuk kanak-kanak itu turut dilaporkan berada di lokasi ketika polis menyerbu bangunan itu, namun dia mendakwa dia tidak mempunyai pengetahuan mengenai keberadaan kanak-kanak itu.
Selepas hampir satu jam, kanak-kanak itu ditemui bersembunyi di ruang gelap lembap di sebalik serpihan papan.
Paislee kemudiannya dibawa ke ibu pejabat polis di mana kakitangan perubatan memeriksanya dan polis memberitahu akhbar tempatan, Daily Freeman, bahawa kanak-kanak berkenaan sihat dan akan diserahkan kepada penjaganya yang sah.
Polis menahan ibu bapa kanak-kanak berkenaan dan datuknya, yang kini menghadapi tuduhan campur tangan hak penjagaan dan membahayakan nyawa kanak-kanak.
Polis berkata mereka menyoal siasat Kirk Shultis Jr beberapa kali sejak kanak-kanak berkenaan hilang tetapi dia mendakwa tidak mengetahui lokasi anaknya dan tidak melihatnya.