Kanak-kanak dicabul penjaga masjid ketika mengaji
Astro Awani
Januari 15, 2018 12:06 MYT
Januari 15, 2018 12:06 MYT
Seorang lelaki didakwa mencabul kehormatan sekurang-kurangnya 15 kanak-kanak di sebuah masjid di Desa Long Beluah Kecamatan Tanjung Palas Barat pada Khamis.
Lelaki berusia 59 tahun yang bertugas sebagai penjaga masjid itu ditahan pihak berkuasa pada Jumaat untuk membantu siasatan susulan laporan oleh ibu bapa mangsa.
Media tempatan dalam laporan pada Isnin berkata suspek didakwa mendekati kanak-kanak berusia 7 hingga 8 tahun yang menghadiri pengajian kitab di sebuah masjid di Long Beluah.
Suspek dipercayai merayu dengan memberikan hadiah berupa wang dan memujuk mangsa untuk dipangku sebelum bertindak meraba bahagian sulit mangsa.
Menurut laporan, suspek dipercayai telah melakukan perbuatan terkutuk itu sejak September tahun lepas dan kes hanya terbongkar pada 9 Januari lalu.
Polis mengesahkan jumlah mangsa setakat ini adalah 15 kanak-kanak perempuan, manakala seorang lagi sudah diminta memberikan keterangan.
Sekiranya didapati bersalah, suspek boleh dihukum penjara minimum lima tahun hingga maksimum 15 tahun serta denda Rp 5 miliar (hampir RM1.5 juta).