Kanak-kanak baling keluar tilam selamatkan diri dan adik-adik dalam kebakaran rumah
Astro Awani
Mac 19, 2021 09:16 MYT
Mac 19, 2021 09:16 MYT
USAHA seorang kanak-kanak perempuan berusia 8 tahun bagi menyelamatkan diri dan dua adiknya dari rumah terbakar harus dipuji.
Dalam kejadian pada Rabu malam di Chicago, kanak-kanak tersebut membaling keluar sebuah tilam sebelum melompat bagi menyelamatkan diri dan adik-adiknya selepas rumah mereka terbakar, kata jurucakap Polis Chicago kepada portal berita PEOPLE.
Sebaik sahaja anggota bomba tiba di tempat kejadian, salah seorang adiknya berusia empat tahun, bersedia melompat keluar tingkap sebelum anggota bomba menyelamatkannya menggunakan tangga.
Seorang lagi kanak-kanak berusia dua tahun ditemui dan berjaya diselamatkan dari dalam rumah berkenaan yang terletak di tingkat dua bangunan berkenaan, kata Jabatan Bomba Chicago dalam kenyataan di akaun Twitter rasmi pada Rabu.
Kanak-kanak berusia 8 tahun itu mengalami kecederaan pada pergelangan kaki, lapor Chicago Sun Times.
"Saya tidak mencadangkan untuk berbuat demikian namun tindakan kanak-kanak ini untuk menyelamatkan diri dan adik-adiknya adalah luar biasa," kata Ketua Bomba Daerah, Frank Velez kepada Chicago Tribune.
Kanak-kanak berkenaan dilaporkan berada di rumah tanpa pengawasan orang dewasa ketika kejadian berlaku.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba, Larry Langford, siasatan awal mendapati kebakaran bermula dari bahagian dapur.
"Ketika kejadian, kanak-kanak ini ditinggalkan seorang diri di dalam rumah tanpa pengawasan orang dewasa. Namun ibunya berada berdekatan," jelasnya kepada ABC7.
Ketiga-tiga kanak-kanak tersebut telah dibawa ke Hospital Kanak-kanak Comer dan dilaporkan dalam keadaan stabil.
Siasatan untuk mengetahui punca kejadian masih dijalankan.