Kanak-kanak antara 41 maut dalam tragedi bot karam

Astro Awani
April 17, 2021 04:07 MYT
Tragedi menimpa pelarian warga Afrika itu berlaku ketika mereka cuba menyeberang Laut Mediterranean menuju ke Pulau Lampedusa di Itali. -Gambar hiasan
TUNIS : Seorang kanak-kanak antara 41 yang maut selepas bot dinaiki mereka karam di perairan Tunisia.
Tragedi menimpa pelarian warga Afrika itu berlaku ketika mereka cuba menyeberang Laut Mediterranean menuju ke Pulau Lampedusa di Itali.
Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan Pertubuhan Migrasi Antarabangsa (IOM) dalam satu kenyataan berkata mereka sangat bersedih dengan laporan nahas tersebut yang berlaku di perairan Sidi Mansour di tenggara Tunisia.
Difahamkan tiga mangsa berjaya diselamatkan Pengawal Pantai Kebangsaan Tunisia.
"Setakat ini 41 mayat termasuk seorang kanak-kanak telah ditemukan. Semua mangsa berasal dari wilayah sub-Sahara Afrika.
"Tragedi menyayat hati ini membuktikan kita perlu meningkatkan serta meluaskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Mediterranean Tengah, di mana 290 orang maut tahun ini," kata dua badan itu dalam satu kenyataan bersama.
Jurucakap agensi pantai Tunisia, Ali Ayari, sebelum ini memaklumkan sejumlah 20 mayat telah ditemukan.
Ia termasuk lapan wanita dan seorang kanak-kanak, manakala 17 yang lain masih hilang.
Katanya, operasi yang sebelum ini terganggu akibat cuaca buruk disambung semula hari ini.
#Tunisia #kanak-kanak maut #bot karam #pelarian #laut mediterranean #pulau lampedusa #UNHCR #Pengawal Pantai Kebangsaan Tunisia #Sidi Mansour