Kanak-kanak 12 tahun ke atas perlu pakai pelitup muka seperti orang dewasa - WHO

Afiezy Azaman
Ogos 23, 2020 11:17 MYT
Sama ada kanak-kanak berusia antara enam dan 11 tahun harus memakai pelitup muka bergantung kepada beberapa faktor. - Gambar hiasan
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan kanak-kanak berusia 12 tahun ke atas harus memakai pelitup muka seperti orang dewasa untuk mengekang penularan COVID-19.
Manakala kanak-kanak berusia antara enam hingga 11 tahun harus memakai pelitup muka dengan pendekatan berdasarkan risiko.
Perkara itu berdasarkan kenyataan bersama WHO dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dalam satu dokumen di laman web WHO yang disiarkan pada 21 Ogos.
“Kanak-kanak berusia 12 tahun ke atas harus memakai pelitup muka apabila jarak satu meter dengan yang lain tidak dapat dipraktikkan dan terdapat kes penularan yang tinggi di kawasan itu.
“Sama ada kanak-kanak berusia antara enam dan 11 tahun harus memakai pelitup muka bergantung kepada beberapa faktor.
"Ia termasuk tahap penularan di kawasan itu, kemampuan untuk menggunakan pelitup muka, akses kepada pelitup muka dan pengawasan orang dewasa yang mencukupi,” kata kenyataan bersama itu.
Mengulas lanjut, WHO dan UNICEF berkata, kajian menunjukkan kanak-kanak lebih berumur berpotensi memainkan peranan aktif dalam penularan koronavirus berbanding kanak-kanak di awal usia.
Bagaimanapun jelas dua agensi dunia itu, lebih banyak data diperlukan untuk lebih memahami peranan kanak-kanak dan remaja dalam penularan virus yang menyebabkan COVID-19.
WHO pada 5 Jun lalu buat pertama kali menasihati orang ramai supaya memakai pelitup muka ketika berada di khalayak bagi membantu mengurangkan penyebaran COVID-19.
Namun, tiada panduan khusus untuk kanak-kanak dikeluarkan.
#COVID-19 #Kanak-kanak #kesihatan #koronavirus #panduan #pelitup muka #penularan #Pertubuhan Kesihatan Sedunia #remaja #UNICEF #WHO
;