Kanak-kanak 11 tahun mati dikelar perogol, biji mata juga dikorek

Agensi
Mac 4, 2018 20:14 MYT
Difahamkan, mangsa telah berjaya menghalang suspek daripada merogolnya namun tewas apabila suspek mula menyerangnya dengan senjata tajam. - Gambar hiasan
BERANG tidak dapat melakukan perbuatan terkutuknya itu, seorang perogol bertindak mengorek biji mata seorang kanak-kanak perempuan 11 tahun, sebelum membunuhnya dengan kejam.
Dalam kejadian Jumaat lalu di Madhya Pradesh, India itu, hasil bedah siasat polis turut mendapati kanak-kanak itu telah dipukul, dicekik, ditikam serta lehernya dikelar.
Menurut laporan Daily Bhaskar, keluarga mangsa percaya bahawa suspek bertindak demikian selepas gagal merogol kanak-kanak itu.
Difahamkan, mangsa telah berjaya menghalang suspek daripada merogolnya namun tewas apabila suspek mula menyerangnya dengan senjata tajam.
Menurut polis, mangsa telah dibiarkan mati di sebuah padang, dan ketika pihak polis tiba di tempat kejadian, orang ramai telah pun berkumpul di lokasi berkenaan.
Polis kemudiannya meminta penduduk bersurai seketika sementara mereka membalut kanak-kanak itu dengan kain untuk menutup kecederaannya yang mengerikan.
Mayat mangsa kemudian dibawa ke hospital daerah Panna untuk dibedah siasat, dan pihak polis masih menjalankan operasi mencari pembunuh tersebut.
#India #Kanak-kanak #kanak-kanak perempuan #kelar leher #korek biji mata #Madhya Pradesh #perogol
;