Kanada tingkat kerjasama perdagangan, pelaburan dengan negara anggota APEC
Rahimah Abdullah
November 19, 2020 00:21 MYT
November 19, 2020 00:21 MYT
OTTAWA: Kanada akan meneruskan kerjasama perdagangan dan pelaburan dengan negara-negara Asia Pasifik.
Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau berkata negara itu akan melihat potensi ekonomi jangka panjang dengan negara-negara anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).
Menurut Trudeau, sebagai negara anggota, Kanada akan memastikan pemain industri tempatan mendapat akses kepada pasaran Asia Pasifik yang dinamik dan berpotensi besar.
"Kanada telah mengadakan rundingan perdagangan dengan rakan dagang serata dunia.
"Daripada NAFTA ke SITA, Eropah dan akan diteruskan untuk melihat peluang perdagangan dan pelaburan terutama di Asia Pasifik.
"Sebagai negara pengasas APEC bersama negara kerjasama Asia Pasifik, kerjasama akan meningkatkan produktiviti, perdagangan progresif, dan sistem pertahanan.
"Kami akan memastikan perniagaan tempatan mempunyai akses kepada pasaran yang dinamik dan berpotensi tinggi ini selain membina kesejahteraan bersama," katanya dalam sesi APEC CEO Dialogues pada Khamis.
Beliau memberi contoh, Vancouver sebagai bandar yang menjadi gerbang jaringan kepada Asia Pasifik dan hab perdagangan Kanada-Asia.
Justeru katanya, Kanada menjadi antara negara terawal meratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPPA) dan meneruskan usaha meneroka potensi Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Asean-Kanada.
Malah dengan mengembangkan pasaran ini, ia bakal membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan penengah, memacu keusahawanan, dan pertumbuhan ekonomi.
Ketika ini, Mesyuarat Menteri-Menteri APEC yang turut diadakan secara maya melibatkan kesemua menteri dari 21 ekonomi APEC, pemerhati dan agensi pelaksana antarabangsa.
#CEO
#APEC
#Kanada
#Justin Trudeau
#kerjasama perdagangan dan pelaburan
#potensi ekonomi jangka panjang
#Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik