Kanada tidak benarkan penumpang dengan simptom COVID-19 menaiki kapal terbang, kereta api

Astro Awani
Mac 29, 2020 09:10 MYT
Justin Trudeau ketika bercakap pada sidang media di kediamannya di Ottawa, Ontario, Kanada, 25 Mac, 2020. REUTERS/Fail
KANADA tidak akan membenarkan sesiapa yang menunjukkan sebarang gejala COVID-19 untuk menaiki penerbangan domestik atau kereta api antara bandar, kata Perdana Menteri Justin Trudeau, langkah terbaru yang diambil dalam usaha mengekang penularan wabak itu.
Kerajaan Trudeau telah lama mendesak penduduk negara itu yang sakit supaya tetap berada di rumah, tetapi pada Sabtu beliau berkata, peraturan perjalanan itu akan dikuat kuasa oleh pihak berkuasa pengangkutan negara itu susulan kes COVID-19 yang semakin meningkat.
"Sesiapa yang menunjukkan sebarang tanda-tanda dijangkiti COVID-19 akan dilarang dari menaiki semua penerbangan domestik dan kereta api antara bandar," katanya pada sidang media hariannya di Ottawa.
Sekatan perjalanan itu akan berkuatkuasa mulai jam 12 tengah hari Isnin waktu tempatan.
Ditanya bagaimana saringan ini akan dijalankan, Trudeau berkata kerajaan sedang dalam proses membekalkan alat baru kepada syarikat penerbangan dan kereta api.
Pihak berkuasa pengangkutan Kanada berkata, kakitangan syarikat penerbangan dan syarikat kereta api akan bertanyakan soalan mengenai kesihatan kepada penumpang dan memantau sekiranya mereka menunjukkan sebarang gejala.
Bagaimanapun, seorang pegawai kesihatan awam Kanada berkata pada satu sidang media berasingan, sekiranya saringan diperketatkan pun, tidak ada jaminan individu yang sakit tidak akan menaiki penerbangan atau kereta api kerana mereka masih boleh menyembunyikan simptom itu.
Kanada setakat ini mengesahkan terdapat 5,153 kes jangkitan COVID-19 dan 55 kematian di negara itu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Kesihatan Awam Theresa Tam berkata, walaupun angka jangkitan dan kematian semakin meningkat, kadar pertumbuhannya dilihat semakin perlahan di British Columbia, wilayah di mana jangkitan dalam komuniti pertama kali dikesan.
"Masih ada harapan," katanya kepada pemberita di Ottawa.
#COVID-19 #Justin Trudeau #Kanada #kapal terbang #kerajaan #kereta api #kesihatan #koronavirus #penerbangan #pengangkutan #Simptom
;