Kanada lantik wanita pertama galas jawatan ketua pertahanan
Astro Awani
Julai 18, 2024 06:50 MYT
Julai 18, 2024 06:50 MYT
OTTAWA: Jeneral Jennie Carignan menjadi wanita pertama dilantik sebagai Ketua Kakitangan Pertahanan Kanada sekaligus menjadikannya wanita pertama yang memerintah angkatan tentera negara itu.
Dilatih sebagai jurutera tentera, Carignan mempunyai pengalaman memimpin tentera di Afghanistan, Bosnia-Herzegovina, Iraq dan Syria selama 35 tahun sepanjang berkhidmat d dalam tentera Kanada.
Carignan mengambil alih daripada Jeneral Wayne Eyre, yang berkhidmat sebagai komander tertinggi tentera sejak 2021, ketika Kanada menyasarkan untuk meningkatkan perbelanjaan pertahanan dan memodenkan angkatan tenteranya.
Minggu lalu, Perdana Menteri Justin Trudeau mengumumkan hasrat kerajaannya untuk mencapai sasaran perbelanjaan pertahanan NATO sebanyak 2 peratus daripada KDNK menjelang 2032.
Perbelanjaan pertahanan Kanada dijangka menjadi 1.39 peratus daripada KDNK pada tahun fiskal 2024-25, menurut unjuran kerajaan.
Bagaimanapun angkatan bersenjata sedang bergelut untuk mencapai matlamat pengambilan dan lambat untuk menggantikan peralatan yang sudah lapuk.
Trudeau, yang menggelar Carignan sebagai "contoh teladan untuk semua warga Kanada dan dunia", telah melaksanakan dasar yang direka untuk meningkatkan kesaksamaan jantina sejak memegang jawatan pada 2015.
Pada 2018, Trudeau turut melantik Brenda Lucki sebagai ketua wanita pertama Polis Diraja Kanada.