Kanada dilanda musim kebakaran terburuk dalam sejarah
Astro Awani
Jun 9, 2023 08:30 MYT
Jun 9, 2023 08:30 MYT
KEBAKARAN hutan yang melanda Kanada telah menyebabkan sekurang-kurangnya 20,000 individu berpindah.
Beberapa bantuan dari negara lain juga sedang disalurkan kepada Kanada bagi menguruskan insiden kebakaran yang dianggap terburuk dalam sejarah negara itu.
Kebakaran hutan yang semakin kuat dalam sebulan terakhir telah memaksa puluhan ribu meninggalkan rumah mereka.
Lebih kurang 4.3 juta hektar telah terbakar, kira-kira 15 kali ganda purata tahunan dalam dekad yang lalu dengan jangkaan keadaan cuaca yang panas dan kering dijangka berterusan dalam beberapa bulan akan datang.
Ia turut mengakibatkan pemansuhan aktiviti luar sekolah terutamanya di daerah Toronto.
Sementara itu, Amerika Syarikat (AS) telah menghantar lebih daripada 600 orang petugas pemadam kebakaran beserta aset untuk membantu memadam kebakaran ke Kanada.
Kebakaran yang mencetuskan jerebu teruk turut merebak ke AS sejak bulan lalu.
Situasi semakin parah dengan kebakaran terbaharu di Quebec, di mana kira-kira 100 kebakaran dikategorikan sebagai tidak terkawal pada Rabu.