Kanada dan AS siasat insiden kapal selam Titan

Bernama
Jun 24, 2023 10:40 MYT
Amerika Syarikat mengumumkan pihaknya akan menyiasat insiden kapal selam Titan, sementara Kanada pula akan menyiasat tindakan Polar Prince, kapal Kanada yang menunda kapal selam malang itu ke lokasi Titanic di Lautan Atlantik. - Gambar REUTERS
TRENTON (Kanada): Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat mengumumkan bahawa pihaknya akan menyiasat insiden kapal selam Titan, sementara Kanada pula akan menyiasat tindakan Polar Prince, kapal Kanada yang menunda kapal selam malang itu ke lokasi Titanic di Lautan Atlantik, lapor Anadolu.
Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan AS menyatakan bahawa Pengawal Pantai AS akan memimpin siasatan mengenai insiden kapal selam itu.
Sementara itu, Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kanada (TSB) akan melancarkan penyiasatan terhadap tindakan kapal sokongan Polar Prince yang menunda Titan dari Newfoundland ke lokasi reruntuhan Titanic sambil menyatakan bahawa tindakan itu "selaras dengan Akta Lembaga Penyiasatan dan Keselamatan Kemalangan Pengangkutan Kanada dan perjanjian antarabangsa."
"Dalam beberapa hari akan datang, kami akan menyelaraskan aktiviti kami dengan agensi lain yang terlibat.
"Maklumat terkini akan disediakan seiring dengan kemajuan penyiasatan," menurut TSB dalam satu kenyataan.
Polar Prince adalah sebuah kapal Newfoundland yang dimiliki oleh Miawpukek First Nation.
Kapal itu menyertai kapal-kapal lain dalam usaha menjejaki Titan.
Ia juga membawa beberapa ahli keluarga kepada lima mangsa yang meninggal dunia dalam letupan kapal selam itu.
Ketua Miawpukek, Mi'sel Joe, memberitahu Canadian Broadcasting Corporation pada Jumaat bahawa penyiasatan ini akan menyukarkan kru Polar Prince.
"Ini akan menjadi cabaran yang sukar bagi kru," katanya.
"Mereka membantu mengesan kapal, dan mereka menjaga keluarga yang ada di atas kapal.
"Saya merasa kasihan kepada mereka semua. Ini adalah kehilangan nyawa, dan tidak pernah mudah bagi keluarga," katanya.
Polar Prince terputus hubungan dengan Titan pada Ahad, kira-kira 90 minit selepas ia memulakan penundaan kapal selam itu ke arah Titanic --- 700 kilometer (435 batu) dari pantai Newfoundland.
Sebuah kenderaan kawalan jauh menemui bahagian belakang kapal selam Titan di dasar laut kira-kira 1,600 kaki (488 meter) dari buritan Titanic. - BERNAMA
#kapal selam Titan #tragedi Titan #OceanGate #Titanic
;