Kanada arah gereja Katolik bayar AS$76.1 juta berhubung kes penderaaan
Bernama
Julai 6, 2024 17:34 MYT
Julai 6, 2024 17:34 MYT
TRENTON (Kanada): Gereja Katolik diperintah membayar CAN$104 juta (AS$76.1 juta) kepada mangsa penderaan seksual dan fizikal di wilayah Newfoundland, Kanada termasuk 292 mangsa di sebuah rumah anak yatim yang dikendalikan pihak gereja.
Peguam Geoff Budden mewakili lebih 200 mangsa rumah anak yatim Mount Cashel dan beberapa sekolah yang dikendalikan oleh Christian Brothers of the Catholic Church.
Budden berkata mangsa-mangsa dan wakil mereka berasa lega dengan perjuangan yang berlangsung selama beberapa dekad, lapor Agensi Anadolu.
"Mereka gembira kerana kata-kata mereka dipercayai, tuntutan mereka diterima dan mereka akan menerima pampasan ... tetapi ia juga menyingkap kembali memori lama," katanya kepada CTV News.
Wang pampasan akan diperoleh dari Gereja Katolik di wilayah itu, yang telah mula menjual harta benda.
CTV News melaporkan bahawa setakat ini kira-kira CAN$45 juta telah dikumpulkan.
Kes penderaan rumah anak yatim Mount Cashel menjadi tajuk utama di dada akhbar pada 1989 dan terdapat dakwaan bahawa Jabatan Kehakiman Newfoundland menghentikan siasatan polis.
Ia juga didapati pihak gereja sering memindahkan paderi yang dituduh melakukan penderaan seksual dan fizikal ke tempat lain.
Rumah anak yatim itu ditutup pada 1990 dan dirobohkan pada 1992.
-- BERNAMA