"Kamu 'berbau', sila keluar" - Lelaki rasis bermulut celupar akhirnya 'kantoi'
Agensi
Julai 27, 2019 09:47 MYT
Julai 27, 2019 09:47 MYT
Seorang lelaki warga Singapura dijatuhi hukuman penjara empat minggu dan denda RM3,007 oleh Mahkamah Singapura pada Jumaat selepas mengaku bersalah ke atas tiga pertuduhan yang dilakukannya antara Januari, Ogos dan September tahun lalu.
Ketiga-tiga kesalahan itu melibatkan perbuatan melemparkan kata-kata berbaur perkauman, memijak kaki seorang wanita serta menyimbah mee ke arah dua lelaki di Singtel Shop Comcentre.
Memetik portal CNA, tertuduh, William Aw Chin Chai, 47, mengaku bersalah atas tuduhan menghasut kebencian dengan kata-kata berbaur perkauman, menggunakan kekerasan jenayah dan sengaja menyebabkan kecederaan.
Sementara, tuduhan keempat melibatkan perbuatan mencuri empat botol air mineral dari sebuah medan selera, turut dipertimbangkan.
Mahkamah diberitahu, Aw menganggur ketika dia melakukan kesalahan-kesalahan itu dalam tiga kejadian berasingan pada tahun lalu.
Mengikut pertuduhan pertama, Aw pada 3 Ogos tahun lalu didakwa melemparkan kata-kata kesat kepada seorang lelaki warga India, Ramachandiran Umapathy ketika berada di dalam sebuah lif di Terminal 2 Lapangan Terbang Changi, di sini.
Difahamkan, mangsa yang bekerja sebagai pekerja binaan berada di lapangan terbang tersebut untuk menjalankan kerja-kerja pemasangan bagi terowong MRT.
Sebaik sahaja mangsa memasuki lif, Aw mula menghamburkan kata-kata kesat seperti “You dirty people, go out" (Kamu kotor, sila keluar) , dan "Saya tidak suka dengan kamu, kamu busuk.”
Menurut Penolong Pendakwa Raya, Lydia Goh, mangsa kemudian menegur tertuduh berikutan kelakuan kurang sopannya itu.
Mangsa turut merakam insiden tersebut dan memuat naik video itu ke laman Facebook Pasukan Polis Singapura sebelum video itu menjadi tular.
Sebulan selepas insiden tersebut, Aw bertindak menyimbah semangkuk mee sup ke arah dua lelaki yang tidak dikenali ketika dia sedang makan di Singtel Comcentre di Exeter Road.
Insiden tersebut dirakam kamera litar tertutup (CCTV).
Sementara itu, pada Januari tahun lalu, Aw bertindak mencederakan seorang wanita yang menahan pintu lif untuknya yang sedang terburu-buru.
Dalam kejadian tersebut, mahkamah diberitahu bahawa Aw memasuki lif di Hospital Universiti Kebangsaan Singapura.
Dia kemudian berdiri berdekatan dengan mangsa, Wahida Abdullah, 49, lalu bertindak memijak kaki kiri wanita terbabit.
Akibat perbuatan tersebut, mangsa terpaksa mendapatkan rawatan perubatan berikutan mengalami kecederaan pada kaki. Wahida kemudian menghubungi pihak polis bagi memaklumkan kejadian tersebut.
Mengikut pertuduhan, Aw boleh dikenakan penjara sehingga tiga tahun, denda atau kedua-duanya sekali kerana mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman.
Bagi kesalahan menyimbah mee pula, penjara tiga tahun, denda maksimum RM4,511 atau kedua-duanya sekali, sementara bagi kesalahan dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada wanita, tertuduh boleh berdepan dua tahun penjara, denda maksimum RM15,000 atau kedua-duanya sekali.