"Kami tiada wang" - Ibu Duangpetch rayu bantuan bawa pulang mayat dari UK
Hasimi Muhamad
Februari 17, 2023 11:10 MYT
Februari 17, 2023 11:10 MYT
KELUARGA Duangpetch Promthep, yang diselamatkan dari gua Tham Luang di daerah Chiang Rai, Thailand pada Jun 2018 merayu bantuan agar mayat remaja itu dibawa pulang ke Thailand.
Duangpetch yang merupakan bekas kapten pasukan bola sepak Wild Boars Thailand meninggal dunia di United Kingdom pada 15 Februari lalu.
Ibu mendiang, Thanaporn Promthep berkata mereka tidak mempunyai wang untuk membawa mayat anaknya itu pulang ke negara kelahirannya.
"Kami mahu dia (mayatnya) kembali kerana keluarga kami tidak mempunyai wang; tiada seorang pun daripada kami (mampu membawa pulang).
“Kami ingin meminta bantuan anda untuk membawa pulang mayatnya,” katanya dalam sidang media secara dalam talian pada Rabu, memetik CNA.
Jelas Thanaporn lagi, dia berharap mayat anaknya yang berusia 17 tahun itu dibawa pulang supaya mereka dapat melakukan upacara keagamaan.
Jika tidak membawa balik mayat, wanita itu berkata dia sekeluarga akan berusaha melalukan apa sahaja, termasuk hanya mendapatkan abu mendiang.
“Kami sekeluarga bimbang rohnya masih hilang di asrama atau di hospital. Kita tunggu jenazahnya pulang.
“Sesetengah orang memberitahu saya bahawa menghantar balik mayat boleh menelan kos ratusan ribu baht.
“Kami mempunyai beberapa anak yang masih belum tamat sekolah. Sekarang Dom sudah tiada, jika kita benar-benar tidak boleh mendapatkan mayatnya, kita akan mendapat apa yang kita boleh, mungkin abunya,” katanya lagi.
Sementara itu, bekas penyerang dan ketua jurulatih pasukan bola sepak kebangsaan Thailand, Kiatisuk Senamuang berkata dia akan berhubung dengan Zico Foundation.
Zico Foundation merupakan pertubuhan bukan keuntungan yang membantu Duangpetch mendapatkan biasiswa untuk melanjutkan pengajian di Akademi Bola Sepak Kolej Brooke House di Leicestershire.
Duangpetch atau lebih dikenali sebagai Dom dilaporkan ditemui dalam keadaan tidak sedar diri di dorm asrama pada Ahad sebelum dibawa ke hospital.
Pada Julai 2018, Duangpetch bersama 11 rakan sepasukan serta jurulatih mereka diselamatkan selepas terperangkap di dalam gua Tham Luang di Chiang Rai, utara Thailand selama 18 hari.