"Kami terpaksa hidup berasingan demi kesinambungan generasi"- Penduduk Gaza
Bernama
November 10, 2023 19:20 MYT
November 10, 2023 19:20 MYT
GAZA: Angka korban penduduk Palestin kini menghampiri 11,000 orang, susulan kekejaman rejim Zionis Israel melakukan serangan demi serangan ke atas Semenanjung Gaza, termasuk di kawasan kediaman dan lokasi penduduk berlindung.
Keadaan genting itu memaksa Abu Iyad El-Aidiy, seorang penjawat awam di Gaza, mengambil inisiatif membahagikan ahli keluarganya kepada tiga kumpulan dengan harapan, andai tidak semua ditakdirkan terselamat, memadai jika sekadar seorang dua dapat meneruskan kehidupan untuk hari berikutnya.
Beliau berkata mereka terpaksa berpindah randah dan tidur di lokasi yang berasingan demi 'kesinambungan generasi'.
"Tiada tempat selamat. Saya terpaksa...untuk elak kematian secara sekali gus seperti yang berlaku pada keluarga lain. Mereka lenyap terus dari daftar negara.
"Sebuah keluarga yang saya kenali di Deir al-Balah dan Nuseirat lenyap sekali gus. Mereka keluarga biasa. Tiada kaitan pun dengan mana-mana propaganda kuasa penjajah.
"Sebahagian keluarga saya kekal di rumah. Sebahagian lagi di Deir al Balah dan yang lain tinggal dalam bas rosak," katanya kepada wartawan Agensi Berita Palestin (WAFA).
Abu Iyad El-Aidiy berkata beliau menerima dengan tangan terbuka jika terdapat ahli keluarga lain mahu menumpang teduh.
Mukim Deir al Balah dan Nuseirat masing-masing terletak 14 kilometer (km) dan enam km dari tengah bandar Gaza.
Seorang lagi penduduk Gaza, Muhammad Saadat turut mengasingkan tujuh anaknya (tiga lelaki, empat perempuan) di beberapa rumah saudaranya di Khan Yunis, selatan Gaza.
"Ramai lagi yang tidak dapat berbuat begini kerana rumah keluarga mereka juga musnah, jadi mereka tinggal berpecah-pecah di pusat perlindungan yang berbeza di Deir al-Balah," katanya.
Bagi ibu lima anak, Dua' Abdel Aal, 44, beliau tidak akan memisahkan anak-anaknya.
"Sama ada kami hidup bersama atau mati bersama. Itu saja," katanya.
Sekurang-kurangnya 10,812 rakyat Palestin termasuk 4,412 kanak-kanak dan 2,918 wanita terbunuh manakala lebih 26,000 lagi cedera dalam serangan udara dan darat rejim Israel sejak 7 Okt.
Selain angka korban yang tinggi dan jumlah mereka yang hilang tempat tinggal terus meningkat, bekalan asas juga semakin berkurangan untuk 2.3 juta penduduk Gaza disebabkan pengepungan Israel.
-- BERNAMA