Kami sedang diserang penggodam - Al Jazeera TV
Reuters
Jun 9, 2017 12:16 MYT
Jun 9, 2017 12:16 MYT
Rangkaian stesen televisyen antarabangsa, Al Jazeera TV kini sedang berhadapan dengan serangan siber besar-besaran di platform medianya namun yakin semua entitinya kekal beroperasi seperti biasa.
Menurut sumber syarikat itu pada Khamis, ia kini sedang sedaya upaya bertahan dari serangan itu.
“Terdapat cubaan menceroboh yang dibuat kepada sistem keselamatan siber Al Jazeera tetapi kami sedang cuba menangkis cubaan tersebut dan pada masa ini, entiti kami kekal beroperasi,” kata seorang petugas kanan yang enggan namanya disiarkan.
Al Jazeera adalah syarikat penyiar utama dari Qatar, negara yang sedang menghadapi hubungan tegang dengan negara-negara Arab yang mendakwanya mempunyai hubungan dengan keganasan.
Saluran-saluran bahasa Inggeris dan Arab Al Jazeera serta laman sesawangnya masih berfungsi pada Khamis selepas rangkaiannya mengeluarkan notis di Twitter, “Semua sistem, laman web dan platform media sosial berikut berhadapan serangan siber.”
Ini disusuli dengan satu “tweet” yang mengatakan platform media yang berpangkalan di Doha itu, sedang mengalami “percubaan penggodaman secara berterusan”.
Serangan siber ini adalah yang ketiga dalam tempoh 14 bulan yang lalu.
Kerajaan Qatar sebelum ini berkata agensi berita negara ini telah digodam dan kenyataan palsu berkaitan dengan pemimpin negaranya telah disiarkan dimana ia turut mencetuskan ketegangan antara Qatar dengan negara-negara Arab yang lain.