'Kami mahu kestabilan ekonomi demi kelangsungan hidup' - Warga Kabul
Syafik Shukri Jalil
Mac 5, 2022 10:36 MYT
Mac 5, 2022 10:36 MYT
KABUL: Kerajaan pimpinan Taliban di Afghanistan nyata diterima baik oleh warganya yang kerap kali menyifatkan ‘’keadaan kami lebih selamat dan kini tiada lagi kedengaran bunyi letupan bom dan tiada lagi kanak-kanak yang terkorban’’.
Itu respon yang sama diterima ketika kami berada di beberapa lokasi di Kabul, Afghanistan tempoh hari.
Namun, di sebalik tahap keselamatan yang tinggi itu, majoriti masyarakat negara itu berdepan situasi kehidupan yang sukar.
Majoriti hilang pekerjaan, tidak mempunyai sumber kewangan yang stabil malah berdepan krisis kemanusiaan yang membarah.
Ini kerana kerajaan pimpinan Taliban tidak diiktiraf oleh masyarakat dunia dan perkara itu membantutkan mereka membuat perancangan terutama dalam aspek pembangunan ekonomi negara.
Astro AWANI sempat bertemu secara dekat dengan beberapa warga Kabul yang merupakan penerima bantuan misi kemanusiaan Malaysia untuk Afghanistan.
Di sebalik rasa syukur dengan bantuan yang diterima, kami cuba mendekati mereka untuk memahami keadaan sebenar dan apa yang mereka benar-benar mahukan daripada kepimpinan kali ini.
Menerusi pertemuan yang diiringi kawalan keselamatan yang ketat, kami bertemu tiga penerima bantuan kemanusiaan Malaysia untuk Afghanistan di kawasan perumahan yang terletak di Kabul.
Keadaannya agak biasa bagi mereka yang menetap di kawasan setinggan namun kunjungan kami disambut meriah oleh penduduk sekitar.
Kami berkesempatan bertemu dengan Yasmin, yang menceritakan kepayahannya berkongsi kediaman bersama beberapa ahli keluarganya yang lain ditambah dengan tidak memiliki pendapatan tetap bagi meneruskan kehidupan.
‘’Keadaan kami sukar kerana tidak ada penjaga (ketua keluarga) yang menjaga kami dan saya ketika ini saya mengambil upah menjahit di rumah.
‘’Pendapatan saya sebulan lebih kurang 6,000 Afghani (RM273.49) dan nyata amaun itu tidak mencukupi untuk menyara kami sekeluarga serta bayaran sewa rumah juga kini sudah tertangguh selama dua hingga tiga bulan.
‘’Kami berharap dapat menjalani kehidupan seperti biasa dan kembali bekerja supaya saya boleh memiliki pendapatan tetap untuk meneruskan kehidupan,’’ katanya.
Sementara bagi Hasina, yang merupakan ibu kepada lima anak, keluarganya kini terpaksa menyewa sebuah bilik dan dikongsi bersama suami dan lima anaknya yang lain.
Ujarnya kadar sewa adalah sekitar 4,000 Afghani (RM183.33) sebulan, dia memang menghadapi kesukaran kerana gajinya sebagai pekerja pembersihan di sebuah sekolah hanya membolehkan dia menerima gaji sekitar 5,000 Afghani (RM229.16) sebulan.
‘’Kami tidak memiliki tanah dan rumah dan kami menyewa bilik ini dan dikongsi bersama seluruh ahli keluarga.
‘’Sekiranya ada tetamu yang datang, mereka juga akan dibawa ke bilik ini dan inilah keadaan sebenar di sini.
‘’Untuk itu, besar harapan saya agar kerajaan pimpinan Taliban mampu memberi jaminan yang lebih baik kepada kami dan diharap dunia akan menerima kami,’’ katanya ketika ditemui Astro AWANI di Kabul, Afghanistan.
Manakala bagi Rahat Shah, dia yang menjual sayur-sayuran juga berdepan kesukaran kerana hasil jualannya tidaklah begitu lumayan malah lebih banyak yang dibuang daripada yang dijual.
Bapa tiga anak itu kini berkongsi, dia kini hanya memperoleh pendapatan bulanan sebanyak 100 Afghani (RM4.58) sehari dan perlu membayar sewa rumah dengan kadar sewaan sebanyak 3,000 Afghani (RM137.50) sebulan.
Malah salah seorang anaknya menghidapi penyakit buah pinggang dan memerlukan kos rawatan yang tinggi.
‘’Pendapatan harian saya adalah sekitar 100 Afghani setiap hari dengan tiga anak dan seorang isteri, pastinya keadaan begitu sukar buat kami.
‘’Ditambah pula dengan salah seorang anak saya kini memerlukan rawatan kerana menghidapi penyakit buah pinggang, saya perlu mendapatkan rawatan yang sesuai untuknya,’’ kongsinya ringkas.
Ketiga-tiga mereka merupakan antara 100 penerima bantuan misi kemanusiaan Malaysia untuk Afghanistan yang memperoleh barangan keperluan asas seperti tepung gandum, beras, minyak, garam dan gula.
Tahun lalu, Amerika Syarikat (AS) memutuskan untuk mengenakan sekatan kepada kerajaan pimpinan Taliban menyebabkan ekonomi negara ini lumpuh.
Bagaimanapun minggu lalu, kerajaan AS pimpinan Joe Biden memutuskan mengeluarkan beberapa pengecualian bantuan kemanusiaan kepada sekatan sejak pengambilalihan Taliban pada Ogos 2021.