"Kami ikhlas lepaskan Eril" - Ridwan Kamil
Agensi
Jun 13, 2022 17:15 MYT
Jun 13, 2022 17:15 MYT
SEKUAT dan setabah mana sekalipun seorang lelaki itu, air matanya pasti akan tumpah dan emosinya pula tentu sekali tidak dapat dibendung apabila mengenang pemergian anak tercinta.
Duka seorang ayah yang kehilangan anak adalah kedukaaan yang sebesar-besarnya dalam hidup seorang ketua keluarga.
Demikian juga yang dirasakan seluruh masyarakat apabila mendengar bait-bait ucapan yang keluar dari mulut Gabenor Jawa Barat, Ridwan Kamil ketika menghantar anaknya, Emmeril Kahn Mumtadz ke liang lahad hari ini.
Sebaik jenazah Emmeril atau lebih mesra disapa Eril dikebumikan di tanah perkuburan keluarga di Cimaung, Bandung tengah hari tadi, Ridwan dalam nada penuh hiba berkongsi perasaan keluarganya yang memperoleh banyak pengajaran daripada musibah ditakdirkan buat mereka.
Antara pengajaran itu, kata Ridwan, ialah mengenai keikhlasan menerima pemergian orang yang dikasihi dan kembali meneruskan hidup.
Suara hati dan terjemahan rasa keluarga besar Ridwan yang dirangkumkan dalam puisi yang dibaca beliau membuatkan ribuan masyarakat yang menghadiri majlis pengebumian Allahyarham Emmeril.
“Kami belajar tentang hidup yang tidak semata tentang lamanya hari, tapi tentang hela nafas yang dipakai berbuat baik walau kecil dalam sehari-hari.
“Kami mengikhlaskan Eril pergi kerana kami akhirnya menyedari bahawa Allah telah mencukupkan seluruh amal-amalnya untuk menutup kemungkinan bertambah kekhilafannya.
“Mungkin akan berat, tapi kami sebenarnya sudah menyiapkan hati kalau kami tidak akan pernah lagi melihat jasadnya untuk terakhir kali,” ungkap Ridwan.
Seberat mana sekalipun hati Ridwan dan keluarga menerima takdir itu, beliau dalam masa sama bersyukur kerana Allah menghadirkan kasih sayang dan kecintaan yang luar biasa daripada segenap lapisan masyarakat.
Nikmat kasih sayang itu, jelas Ridwan, kembali mengingatkan beliau sekeluarga bahawa ada hikmah sebetulnya yang menanti di sebalik setiap satu ujian yang Allah aturkan.
“Bagaimana mungkin kami tidak merasa dilimpahi oleh rahmat dan kurnia saat jenazah yang terbaring ini berada berhari-hari di air masih utuh lagi sempurna.
“Itulah salah satu keyakinan kami bukti adanya mukjizat, yang akhirnya Alhamdulillah kami diberi sempat untuk melihat tanda kekuasaan Allah sang pemberi berkat. Pelajaran bagi kita yang beriman dan yang pandai membaca isyarat.
“Kematian Eril merupakan kehilangan yang sungguh dahsyat. Dalam momentum waktu yang nyaris sejajar, kami merasakan kehilangan yang paling besar, tapi seketika itu juga kami dilimpahi kasih yang akbar,” luah Gabenor Jawa Barat itu lagi.
Ridwan dan seluruh keluarganya terlalu bersyukur dan berterima kasih kepada Yang Maha Esa kerana menghadirkan anak yang yang soleh.
“Kami merasa sangat bersyukur dianugerahi seorang putera yang dalam hidupnya bahkan dalam pulangnya masih mendatangkan cinta kepada kami sang orang tua,” kata Ridwan lagi.
Beruntungnya, Emmeril, pada hari perjalanan terakhirnya, ribuan masyarakat termasuk keluarga dan sahabat serta kenalan mengiringinya dengan bacaan doa yang tidak putus-putus.
Dan dalam masa sama, sebagai mengenang putera yang dikasihinya itu, Ridwan turut menamakan masjid Islamic Center Baitulridwan dengan Nama Al-Mumtadz.
Allahyarham Eril sebelum ini dilaporkan hilang ketika berenang bersama adiknya Camillia Laetitia Azzahra dan rakannya di sungai berhampiran empangan Engehalde, Switzerland.
Bagaimanapun, operasi mencari dan menyelamat mangsa menemui jalan buntu sehingga hari ke-14 apabila mayat Allahyarham ditemukan sekitar pukul 6.05 pagi (waktu tempatan) pada Rabu lalu.
Mayat mangsa kemudiannya menjalani bedah siasat di negara terbabit sebelum diterbangkan pulang ke Indonesia.
Al-Fatihah buat Allahyarham Emmeril...