'Kami bukan untuk dijual' - PM Greenland

Astro Awani
Mac 6, 2025 09:45 MYT
Egede berkata Greenland tidak untuk dijual atau diambil, dan rakyatnya sendiri yang akan menentukan masa depan negara itu. - Foto REUTERS
NUUK: Perdana Menteri Greenland, Mute Egede, menegaskan bahawa rakyat Greenland akan menentukan masa depan mereka sendiri dan enggan menjadi warganegara Denmark atau Amerika Syarikat (AS).
Kenyataannya menyusul sebagai reaksi terhadap presiden AS, Donald Trump, yang sekali lagi menyuarakan hasratnya untuk menjadikan Greenland sebahagian daripada AS.
Pulau itu kini merupakan wilayah separa autonomi di bawah kerajaan Denmark.
Katanya, rakyat Greenland bukan warganegara AS atau Denmark.
Beliau menekankan bahawa AS dan pemimpinnya perlu memahami perkara ini.
Tambahnya, Greenland tidak untuk dijual atau diambil, dan rakyatnya sendiri yang akan menentukan masa depan negara itu.
Ketika ini, kerajaan Greenland berada dalam tempoh sementara menjelang pilihan raya pada 11 Mac.
Menteri Luar Denmark pula menyatakan bahawa penting bagi Trump untuk mengiktiraf hak Greenland menentukan nasib sendiri dalam ucapannya di Kongres.
Kerajaan Denmark juga menegaskan bahawa pulau Artik itu tidak untuk dijual dan berhak menentukan masa depannya sendiri.
Tinjauan pendapat menunjukkan kebanyakan rakyat Greenland menolak penyertaan ke dalam AS.
Bagaimanapun, majoriti menyokong kemerdekaan sepenuhnya daripada Denmark pada masa hadapan.
#Greenland #Mute Egede #Donald Trump #Amerika Syarikat
;