Kamera rahsia pada botol syampu: Lelaki kantoi curi rakam 34 wanita mandi

Sinar Harian
Ogos 10, 2018 11:24 MYT
Tertuduh akan mengaktifkan kamera tersebut menerusi alat kawalan jauh sejurus mangsa mandi. - Gambar hiasan
Seorang lelaki di New Zealand, semalam mengaku bersalah atas perbuatan 'curi rakam' 34 wanita di rumah tamunya dengan menggunakan kamera rahsia pada botol syampu.
Tertuduh yang identitinya tidak didedahkan dari Hawke's Bay, North Island didakwa membuat 219 rakaman tidak senonoh itu dari Disember 2017 hingga Februari 2018.
Dia juga mengaku memuat naik video itu ke laman porno.
Difahamkan kebanyakan mangsanya berusia di bawah 30 tahun dan kamera tersebut akan merakamkan antara bahu dan lutut malah wajah mereka juga dapat dilihat.
Bagaimanapun, tidak diketahui sama ada botol syampu itu adalah peranti buatan sendiri atau dibeli secara dalam talian.
Ketika dia ditahan pada Februari lalu, lelaki tersebut memberitahu polis dia melakukan perbuatan itu kerana 'seronok dengan risiko untuk ditangkap'.
Menurut Mahkamah Daerah Hastings, tertuduh akan mengaktifkan kamera tersebut menerusi alat kawalan jauh sejurus mangsa mandi.
Dia kemudiannya akan mengeluarkan botol syampu tersebut dan memuat naik video tersebut pada laman porno di mana individu diminta meninggalkan komen positif untuk menggalakkannya membuat lebih banyak rakaman. - BBC
#bogel #intip #mahkamah #mandi #mangsa #New Zealand #polis #wanita
;