Kamala Harris kumpul RM356.3 juta dana kempen pada Konvensyen Demokrat

Astro Awani
Ogos 28, 2024 09:00 MYT
Harris semasa Konvensyen Kebangsaan Demokratik diadakan di Chicago, Amerika Syarikat. - Foto AP
CHICAGO: Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Kamala Harris berjaya mengumpul sumbangan sebanyak AS$82 juta (RM356.3 juta) semasa Konvensyen Kebangsaan Demokratik (DNC).
Ini menjadikan jumlah dana kempen parti Demokrat kepada AS$540 juta atau RM2.35 bilion menjelang Pilihan Raya Presiden November ini.
Pengurus kempen, Jen O’Malley Dillon dalam satu memo berkata, sumbangan diterima sepanjang empat hari konvensyen itu memperlihatkan sokongan ahli parti terhadap pencalonan Harris.
Katanya, dana kempen mencecah AS$500 juta (RM2.18 bilion) sebelum Harris sempat menyampaikan ucapan pada DNC.
Tambah beliau, sejurus ucapan Harris, jumlah itu semakin bertambah. Keadaan ini tidak pernah berlaku sebelum ini.
Jelas Dillon, hampir satu pertiga dana semasa konvensyen datang daripada penyumbang kali pertama, sementara satu perlima daripada penderma kali pertama itu adalah pengundi muda dan wanita.
Tambah beliau, golongan guru dan jururawat menjadi kumpulan yang paling banyak menderma.
Pada masa sama, Dillon berkata, hampir 200,000 sukarelawan turut berdaftar sepanjang empat hari konvensyen bagi membantu kempen Harris.
Sementara itu, dana kempen bekas Presiden, Donald Trump, yang mewakili Parti Republikan, sehingga kini berjaya mengumpul AS$327 juta (RM1.42 bilion).
#DNC #Kamala Harris #sumbangan #pilihan raya presiden