Kamala Harris dedah laporan kesihatan untuk cabar Trump

Astro Awani
Oktober 14, 2024 08:00 MYT
Harris dikatakan mempunyai ketahanan fizikal dan mental yang diperlukan untuk melaksanakan tugas presiden. - Foto fail/AP
WASHINGTON: Calon Demokrat, Kamala Harris mengeluarkan laporan kesihatan dan sejarah perubatan yang mengesahkan dirinya sihat dan mampu untuk menjalankan tugas presiden jika dipilih pengundi pada November ini.
Menurut surat yang dikeluarkan pada Sabtu, keadaan kesihatan Harris sangat baik dan beliau mempunyai ketahanan fizikal serta mental yang diperlukan untuk berkhidmat sebagai presiden.
Doktor kepada Naib Presiden itu, Joshua Simmons berkata, Harris mengekalkan gaya hidup yang sihat dan aktif, malah pemeriksaan terkini pada April lalu menunjukkan keadaan kesihatannya normal.
Katanya, Harris mempunyai ketahanan fizikal dan mental yang diperlukan untuk melaksanakan tugas presiden, termasuk sebagai ketua eksekutif, ketua negara dan panglima tertinggi.
Harris, 59, mengumumkan maklumat perubatannya sebagai usaha untuk menarik perhatian kepada keengganan lawannya, Donald Trump, untuk berbuat demikian.
Pasukan kempen Harris berharap penerbitan laporan perubatan itu akan membezakan dirinya dengan calon Republikan berkenaan, yang sekadar berkongsi maklumat terhad mengenai kesihatannya sepanjang tahun.
Harris berkata, keengganan untuk memberikan laporan perubatan terperinci adalah contoh terbaharu sikap kurang telus Trump.
"Saya telah mengeluarkan rekod perubatan saya, seperti yang dilakukan oleh setiap calon presiden Amerika Syarikat kecuali Donald Trump dalam pusingan pemilihan ini.
"Ini adalah satu lagi contoh kekurangan ketelusannya. Adalah jelas bagi saya bahawa Trump dan pasukannya tidak mahu rakyat AS benar-benar melihat apa yang dia lakukan dan sama ada dia sebenarnya layak untuk menjalankan tugas sebagai Presiden Amerika Syarikat," katanya.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi kempen Trump, Steven Cheung dalam kenyataan menegaskan, bekas Presiden AS itu secara sukarela mengeluarkan kemas kini daripada doktor peribadinya, serta laporan terperinci daripada Ronny Jackson, yang merawatnya selepas cubaan pembunuhan pertama.
Kempen Harris dilihat memainkan sentimen usia bekas presiden itu kerana Trump menjadi calon tertua dalam perlumbaan kali ini.
#laporan kesihatan #Kamala Harris #Donald Trump #presiden
;