Kalah teruk dalam pilihan raya EU, PM Belgium letak jawatan

Agensi
Jun 10, 2024 01:20 MYT
Alexander De Croo berucap pada satu majlis di Jabatan Perbendaharaan di Washington, 31 Mei 2024. - Gambar fail/AP
PERDANA Menteri Belgium Alexander De Croo meletakkan jawatan selepas partinya mengalami kekalahan teruk dalam Pilihan Raya Parlimen Eropah (EU) pada Ahad.
De Croo, 48 tahun, dilihat cuba menahan sebak ketika mengumumkan keputusan itu pada petang Ahad di Brussels.
“Saya adalah ketua kempen ini. Ini bukan keputusan yang saya harapkan, dan oleh itu saya bertanggungjawab untuk keputusan ini, ia tidak sepatutnya berlaku.
“Mulai esok (Isnin), saya akan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan saya akan menumpukan perhatian sepenuhnya kepada hal ehwal semasa,” kata De Croo kepada wartawan.
Parti yang diwakili De Croo, Open VLD menunjukkan prestasi buruk dengan hanya memperoleh 5.8% undi.
Parti berhaluan kanan, Vlaams Belang dan parti N-VA bersaing, dengan masing-masing 14.8% dan 14.2% undi, menurut keputusan awal.
Dalam ucapan peletakan jawatannya, De Croo berjanji melakukan pemindahan kuasa kepada penggantinya.
Beliau juga menekankan, beliau dia tetap yakin Belgium memerlukan kerajaan baharu dengan kuasa penuh yang boleh melaksanakan tugasnya.
#letak jawatan #pilihan raya Parlimen Eropah #Alexander De Croo #Belgium