Kalah permainan video, remaja nekad penggal kepala dengan gergaji

Agensi
September 6, 2018 11:40 MYT
Pavel Matveev dilapor memenggal kepalanya sendiri dengan gergaji rantai setelah dipercayai kalah dalam permainan video. -TWITTER/@DerangedRadio
Ketaksuban bermain permainan video mengundang padah apabila seorang remaja berusia 15 tahun bertindak membunuh diri di kediamannya di kampung Mogochino di wilayah Tomsk, Rusia.
Mangsa yang dikenali sebagai Pavel Matveev dilapor memenggal kepalanya sendiri menggunakan gergaji rantai selepas dia dikatakan kalah dalam satu permainan video yang dibeli ibunya beberapa bulan lepas.
Menurut sumber, remaja itu dipercayai telah menghabiskan masa yang lama bermain permainan video yang belum dikenal pasti itu.
"Itulah yang membunuhnya apabila menghabiskan masa berjam-jam sehingga mendorong dia membunuh diri apabila kalah dalam permainan video itu," kata sumber tersebut sepertimana dipetik media tempatan.
Kes ini bukanlah yang pertama berlaku. Terdahulu beberapa kes membabitkan remaja dan kanak-kanak dilapor membabitkan permainan video yang mensasarkan remaja untuk melakukan pelbagai aktiviti berbahaya, termasuk membunuh diri.
Antara yang disebut-sebut ialah Blue Whale Challenge dan Momo Challenge.
Rusia merupakan antara negara yang mempunyai jumlah kes bunuh diri paling tinggi di dunia, dengan tahun 2013 sahaja mencatatkan lebih 400 kes.
Insiden memaksa pihak berkuasa di beberapa negara mengeluarkan amaran kepada ibu bapa berhubung permainan video berkenaan yang tular dalam kalangan remaja.
#bunuh diri #Dunia #jenayah #maut #Pavel Matveev's #permainan video #Rusia
;