Kakitangan awam kerajaan Hong Kong kembali bertugas

Agensi
Oktober 6, 2014 01:39 MYT
Kawasan sekitar pejabat-pejabat kerajaan Hong Kong mula dipenuhi oleh pekerja pada Isnin - Foto EPA
Kakitangan awam Hong Kong kembali bertugas hari ini selepas tunjuk perasaan pelajar pro-demokrasi yang berlangsung sejak lebih seminggu lalu mula reda dan kumpulan terbabit beransur-ansur bersurai setelah diberikan tarikh akhir untuk melakukannya oleh pihak berkuasa.
Dalam tinjauan agensi berita AFP mendapati kawasan sekitar pejabat-pejabat kerajaan mula dipenuhi oleh pekerja terutamanya di daerah Tamar, kompleks kerajaan tepi pelabuhan meskipun masih kelihatan beberapa kumpulan kecil penunjuk perasaan.
Pita halangan yang sebelum ini diletakkan penunjuk perasaan turut telah dialihkan sebagai sebahagian dari perjanjian kumpulan itu dengan pihak kerajaan.
“Saya gembira, penunjuk perasaan telah membuka halangan,” kata seorang pekerja awam wanita sambil berteriak ”saya perlu bekerja!”.
Seorang lagi pekerja yang hanya mahu dikenali sebagai Cheung berkata “Saya sokong penunjuk perasaan, saya juga ada hak untuk menyokong mereka selepas waktu bekerja”.
Ramai penunjuk perasaan yang yang mula berundur dari kawasan terbabit, bimbang kerajaan akan mengambil tindakan tegas ke atas mereka.
Ketua Eksekutif wilayah pentadbiran khas itu, Leung Chun-ying sebelum ini memberi amaran akan mengambil tindakan yang sepatutnya untuk mengembalikan keamanan.
Kumpulan penunjuk perasaan yang kebanyakkannya terdiri dari kumpulan pelajar menuntut satu pilihan raya bebas dilaksanakan untuk memilih pemimpin mereka. Ini terutamanya jawatan tertinggi yang sehingga kini masih ditentukan calonnya oleh pemerintah komunis di Beijing.
#Hong Kong #Leung Chun-ying #tunjuk perasaan