Kaki putus jadi 'bantal', siasatan terperinci dijalankan

Agensi
Mac 16, 2018 18:05 MYT
Rakaman video Ghanshyam menggunakan kakinya yang terputus sebagai bantal tular di laman media sosial. - Foto YouTube/MY INDIA
SIASATAN terperinci kini dijalankan selepas rakaman video menunjukkan mangsa kemalangan menggunakan kakinya sendiri sebagai bantal tular di laman sosial.
Mangsa berusia 28 tahun itu dipercayai terlibat dalam nahas jalan raya di India yang menyaksikan kaki kanannya hampir putus dan terpaksa dipotong.
Menurut pegawai Hospital Kolej Perubatan Maharani Laxmibal di Jhansi, India, seorang pegawai perubatan kecemasan, seorang doktor dan dua jururawat telah digantung tugas sehingga siasatan berhubung kes itu selesai.
Ghanshyam Singh cedera parah selepas bas sekolah yang dipandunya terbabas dan terbalik apabila dia cuba mengelak sekawan lembu yang tiba-tiba melintas jalan.
25 pelajar dari sebuah sekolah awam di Mauranipur turut cedera dalam insiden pada 10 Mac lalu.
Kesemua mangsa dikejarkan ke hospital susulan kejadian.
Menurut pengetua kolej perubatan berkenaan, Dr Sadhna Kaushik, kaki kanan Ghanshyam tidak dapat disambung semula dan terpaksa dipotong kerana tisunya telah mati.
Ghanshyam dipindahkan ke hospital swasta pada hari yang sama oleh ahli keluarganya yang tidak puas hati dengan perkhidmatan di hospital berkenaan, lapor Times of India.
“Sebaik sahaja kami tiba di hospital, kami lihat kaki Ghanshyam yang putus itu digunakan sebagai bantal.
"Saya cuba mendapatkan pertolongan daripada pihak hospital namun mereka enggan membantu atas alasan kekurangan bantal," kata kakak ipar Ghanshyam, Janaki Prasad kepada NDTV.
“Akhirnya, saya berjaya dapatkan bantal dari pasaraya berhampiran untuk menggantikan kakinya selepas dua jam," tambahnya lagi.
Ketua perubatan, Harish Chandra Arya berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas sebaik selesai siasatan, lapor Harian Metro.
Sementara itu Dr Sadhna berkata pihaknya telah menubuhkan jawatankuasa empat anggota bagi mengenalpasti siapa yang meletakkan kaki yang dipotong itu di bawah kepala mangsa.
#bantal #bas #Hospital #India #Jhansi #kemalangan #kerajaan #media sosial #pelajar #perubatan #sekolah #video
;