'Kaki kerusi itu hampir tusuk mata saya' - Penumpang cerita detik kapal dibadai ombak besar

Astro Awani
Mac 25, 2019 16:36 MYT
Penumpang kapal persiaran Viking Sky menunggu giliran untuk diselamatkan. -AP
Lebih 1,300 penumpang sebuah kapal persiaran mengalami detik mencemaskan apabila dibadai ombak setinggi 9 meter di tengah laut yang bergelora.
Kapal mewah Viking Sky yang dalam pelayaran dari Bergen, Norway ke Port Tilbury, England dilapor terkandas di tengah samudera akibat kegagalan enjin pada hari ke-8 pelayaran.
Percutian impian di atas kapal mewah itu bertukar menjadi mimpi ngeri bagi penumpang yang kebanyakannya warga tua.
Rakaman video yang dikongsi penumpang kapal persiaran itu di media sosial menunjukkan perabot, pokok malah penumpang meluncur di lantai apabila kapal itu senget ketika dilambung ombak.
Bagi pasangan suami isteri Rodney Horgen, 62 dan Judy Lemieux, 66, dari Minnesota, Amerika Syarikat, mereka tidak dapat melupakan insiden ngeri ketika berada di tingkat tujuh kapal tersebut.
Menurut Rodney, ketika kejadian, dia berhempas-pulas mendapatkan isterinya yang telahpun dihanyutkan air yang melimpahi seluruh bahagian restoran di tingkat itu.
"Saya cuba memegangnya, tapi gagal.
"Ombak menghentam dari sisi kapal menyebabkan kami terumbang-ambing, hinggakan pada satu ketika ia seolah akan karam.
"Penumpang juga jatuh dari kerusi dan berguling di atas lantai yang dipenuhi kaca daripada pinggan dan gelas yang pecah."
Isterinya, Judy pula berkata dia dilambung dinding air setinggi enam kaki yang meluru laju ke arahnya daripada tingkap restoran.
"Saya nampak sebuah kerusi dengan bahagian kakinya terbang ke arah saya, hampir mengenai mata saya. Mujur suami sempat menarik saya," katanya.
Pasangan itu merupakan antara ribuan penumpang kapal persiaran itu yang berjaya diselamatkan melalui operasi menggunakan lima helikopter dan beberapa kapal lain.
Jurucakap Viking Cruises berkata 20 penumpang mengalami kecederaan ketika kejadian dan mereka sedang dirawat di Norway.
#dibadai ombak #dilambung ombak #England #Judy Lemieux #kapal persiaran #karam #Molde #Norway #Port Tilbury #Rodney Horgen #terkandas #terumbang-ambing #Viking Sky
;