Kaki berkecai terpijak bom ketika hendak memancing
Agensi
Februari 4, 2022 15:25 MYT
Februari 4, 2022 15:25 MYT
SONGKHLA: Seorang lelaki yang berhasrat untuk memancing di daerah Chana, Songkhla, Thailand menanggung derita apabila kakinya berkecai apabila terpijak sebutir bom pada petang Khamis (3 Februari).
Agensi berita Bangkok Post melaporkan, kejadian yang berlaku dekat sebuah jambatan landasan kereta api itu tidak jauh dari lokasi pertembungan tentera tempatan dengan kumpulan pemberontak.
Sutthisak Meansen, 44, meninggalkan rumahnya untuk memancing ikan di jambatan berkenaan, di Kampung Nam Khem.
Sewaktu melangkah mencari tempat paling sesuai untuk memancing, sebutir bom meledak di bawah telapak kakinya. Pihak polis memberitahu, kaki kanannya berkecai selain mengalami kecederaan parah di tangan kanannya.
Penduduk kampung berdekatan bergegas membawanya ke Hospital Chana dengan menaiki motosikal.
Polis percaya, bom itu diletakkan di lokasi itu oleh pihak pemberontal. Kedudukan lokasi kejadian adalah kira-kira 5 kilometer dari sebuah kawasan masjid yang menyaksikan pertembungan askar Thailand dan sekumpulan pemberontak pada pagi Khamis.
Media tempatan melaporkan, tiga militan terbunuh apabila mereka cuba merempuh pasukan keselamatan di sebuah pusat pengajian al-Quran di Ban Na, Chana.
Unit pemusnah bom turut membuat pemeriksaan teliti di sekitar lokasi kejadian berikutan kebimbangan terdapat lebih banyak bom yang ditanam di situ.