Kakak maut selamatkan adik dalam kebakaran
Astro Awani
Mac 2, 2019 16:15 MYT
Mac 2, 2019 16:15 MYT
Seorang kanak-kanak perempuan maut setelah menggunakan badannya sendiri untuk melindungi adik lelaki dalam satu kebakaran di rumah mereka.
Dalam kejadian awal pagi 22 Februari lalu, Chen Zimo, 12, dan adik lelakinya sedang tidur apabila rumah mereka yang terletak di Changde, wilayah Hunan terbakar.
Apabila si ayah yang tidur di bilik berasingan menyedari rumah mereka terbakar, dia segera berlari ke bilik anak-anaknya, namun kedua-duanya ditemukan tidak sedarkan diri.
Zimo ditemukan dalam keadaan memeluk tubuh adiknya, Mozi, 5, yang berbalut dengan selimut, lapor Straitstimes.
Kanak-kanak perempuan tersebut yang dilaporkan mengalami luka kebakaran pada 55 peratus badannya meninggal dunia setelah lima hari bertarung nyawa di hospital, manakala adiknya berada dalam keadaan stabil.
Bercakap tentang Zimo, ayah mangsa berkata dia seorang anak yang bertimbang rasa dan pandai berdikari sejak kecil lagi.
Malah Zimo sering membantu kedua ibu bapanya menjaga adik lelakinya itu.
"Sekiranya Zimo berlindung dalam selimut, dia mungkin tidak akan mengalami kecederaan terlalu serius," kata bapa mangsa sambil menambah sebahagian wang hasil sumbangan orang ramai untuk rawatan anak lelakinya akan didermakan kepada sekolah dan badan kebajikan atas nama Zimo.
#Changde
#Chen Zimo
#Hunan
#kakak selamatkan adik
#kebakaran
#luka kebakaran
#mati selepas lima hari bertarung nyawa
#Mozi