Kajian rapi perlu kait bantuan tunai dengan inflasi - Pakar

Amirul Aiman
Oktober 23, 2024 10:00 MYT
Bantuan tunai secara langsung dengan inflasi memerlukan mekanisme yang jelas, kerana penyesuaian bulanan berdasarkan kadar inflasi mungkin sukar dilaksanakan. - Gambar hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Cadangan untuk meningkatkan bantuan tunai kerajaan secara automatik berdasarkan inflasi dianggap baik tetapi memerlukan kajian mendalam bagi mengelakkan risiko fiskal, menurut pakar ekonomi.
Timbalan Presiden Persatuan Ekonomi Malaysia, Profesor Yeah Kim Leng, menyatakan bahawa walaupun mengaitkan bantuan tunai dengan inflasi adalah langkah wajar, ia tidak seharusnya diikat terus kepada kadar inflasi.
“Risiko utama ialah kemampuan kerajaan meneruskan pembayaran tanpa meningkatkan pinjaman atau mengurangkan perbelanjaan lain jika berlaku kekurangan hasil akibat kelembapan ekonomi,” katanya kepada Astro AWANI pada Selasa.
Yeah mencadangkan semakan berkala terhadap program bantuan tunai dan tahap pendapatan asas bagi memastikan kesejahteraan isi rumah tidak jatuh akibat inflasi.
Beliau berkata demikian ketika mengulas cadangan ahli parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang menggesa kerajaan menaikkan bantuan tunai secara automatik mengikut inflasi, tanpa menunggu pengumuman bajet tahunan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan beliau akan mempertimbangkan langkah untuk memastikan program bantuan tunai kerajaan selaras dengan peningkatan kos sara hidup.
Jika ia dilaksanakan, Yeah turut membangkitkan keperluan bagi memantau harga barangan asas dengan lebih dekat untuk menentukan kenaikan bantuan yang sesuai.
“Data ini boleh disemak setiap tahun untuk memastikan peningkatan bantuan tunai selaras dengan prestasi ekonomi negara dan pengurusan fiskal yang baik,” tambahnya.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Sosio-Ekonomi, Lee Heng Guie, turut menegaskan pentingnya perancangan teliti dalam pelaksanaan cadangan ini.
“Walaupun cadangan menyesuaikan bantuan dengan inflasi adalah baik, kita perlu memahami kekangan yang dihadapi.
Kerajaan mempunyai banyak keutamaan, dan sebarang penyesuaian perlu berhati-hati,” katanya kepada Astro AWANI pada Selasa.
Lee juga menekankan bahawa mengaitkan bantuan tunai secara langsung dengan inflasi memerlukan mekanisme yang jelas, kerana penyesuaian bulanan berdasarkan kadar inflasi mungkin sukar dilaksanakan.
"Bagaimana kita mahu menyesuaikannya? Adakah setiap bulan kita perlu melihat kadar inflasi dan menyesuaikan pembayaran?
“Ini perlu difikirkan dengan teliti sebelum dilaksanakan," katanya.
Tags: Bantuan Tunai, Inflasi, Ekonomi, Anwar Ibrahim, Kos Sara Hidup, Syed Saddiq
#bantuan tunai #Inflasi #kos sara hidup #ekonomi
;