Kajian dapati rakyat Singapura masih mahu pakai pelitup muka di kawasan tertentu

Bernama
Ogos 29, 2022 20:07 MYT
Penduduk Singapura memilih untuk sentiasa memakai pelitup muka secara konsisten di tempat yang mereka rasa paling mudah terdedah kepada sebarang jangkitan. - Gambar fail/REUTERS
SINGAPURA: Pemakaian pelitup muka di Singapura tidak lagi diwajibkan di kebanyakan tempat tertutup mulai hari ini, ia sekali gus menandakan penduduk bebas ke mana-mana tanpa perlu lagi memakai pelitup muka sejak pemakaiannya dikuatkuasakan pada April 2020.
Data terkini daripada YouGov RealTime Omnibus bagaimanapun menunjukkan bahawa kebanyakan rakyat Singapura tetap memilih untuk memakai pelitup muka apabila berada di kawasan tertutup yang menjadi tumpuan awam.
Menurut data, orang ramai memilih untuk memakai pelitup muka sepanjang masa jika berada dalam pengangkutan persendirian, seperti perkhidmatan bas persendirian dan teksi (60 peratus), termasuk di lapangan terbang dan stesen kereta api (58 peratus) , dengan enam daripada 10 responden berkata demikian.
Selain itu, hampir separuh responden berkata mereka lebih selesa memakai pelitup muka di pusat membeli-belah (48 peratus), manakala empat daripada 10 akan memakai pelitup muka di acara tertutup atau perayaan (39 peratus) dan di tempat ibadat (37 peratus).
Satu pertiga responden berkata mereka akan sentiasa memakai pelitup muka ketika berada di pawagam (34 peratus) dan di tempat kerja tertutup (33 peratus).
Sebaliknya, sebahagian besar responden mengatakan mereka tidak akan memakai pelitup muka ketika di rumah rakan atau ahli keluarga (34 peratus).
Penduduk Singapura memilih untuk sentiasa memakai pelitup muka secara konsisten di tempat yang mereka rasa paling mudah terdedah kepada sebarang jangkitan.
BACA: Pelitup muka: Singapura longgarkan, Malaysia belum putuskan - Muhyiddin
Apabila ditanya mengenai tahap keselesaan mereka melawat lokasi yang sama, data menunjukkan pengangkutan persendirian (41 peratus), lapangan terbang atau stesen kereta api (40 peratus), acara atau festival secara tertutup (40 peratus) menjadi lokasi yang paling tidak selesa buat orang awam.
Ini diikuti pusat hiburan malam (35 peratus) - dengan lebih ramai responden menyatakan ketidakselesaan yang lebih tinggi - dan pawagam (32 peratus).
Selain itu, mereka yang berumur 55 tahun ke atas berkemungkinan besar mengatakan mereka tidak selesa melawat mana-mana lokasi berkenaan, kecuali rumah rakan dan keluarga.
YouGov RealTime Omnibus menyediakan tinjauan pantas daripada responden atau orang ramai.
Kajian ini dijalankan secara dalam talian dari 25-26 Ogos 2022, dengan sampel mewakili 1,046 orang dewasa di Singapura, berumur 18 tahun dan ke atas, dan menggunakan soal selidik yang direka oleh YouGov.
Data telah diasingkan mengikut umur, jantina dan etnik untuk mewakili golongan dewasa di Singapura, serta mencerminkan anggaran Jabatan Perangkaan Singapura (DOS) terkini.
YouGov adalah kumpulan teknologi data yang merekodkan penyelidikan dan analitik dalam talian di peringkat antarabangsa.
-- BERNAMA
#Singapura #pelitup muka #Kajian #YouGov RealTime Omnibus #COVID-19
;