Kaherah bakal menjadi tuan rumah untuk Forum Urban Sedunia ke 12 (WUF12)
Mohd Dzulfitri Md Yusuf
Jun 7, 2023 18:51 MYT
Jun 7, 2023 18:51 MYT
NAIROBI: Kaherah dipilih sebagai tuan rumah untuk Forum Urban Sedunia (WUF12) yang akan berlangsung dari 4 hingga 8 November 2024 di Pusat Pameran Antarabangsa Mesir.
Pemilihan itu diumumkan dalam satu sidang media di Perhimpunan UN-Habitat di Nairobi, Kenya.
Menteri Perumahan, Utiliti dan Komunikasi Urban Mesir, Assem El Gazzar menyatakan komitmen Mesir dalam menyokong agenda pembangunan antarabangsa.
"Mesir juga bersungguh untuk menjalankan peranan aktif dalam proses pembangunan negara, serantau dan global," kata Assem dalam sidang media itu.
Penganjuran WUF12 ini akan membuka peluang untuk Mesir berkongsi pengalaman dan pengetahuan mengenai amalan terbaik perbandaran khususnya mengenai pembukaan bandar-bandar baharu dan pembangunan kawasan yang tidak formal.
Timbalan Pengarah Eksekutif UN-Habitat, Michal Mlynar teruja dengan pemilihan Kaherah sebagai tuan rumah WUF12.
‘Buat kali pertama dalam tempoh 20 tahun, forum ini akan kembali ke benua Afrika, benua yang mempunya kadar urbanisasi paling pesat di dunia, ujar Mlynar.
‘Ini juga merupakan kali pertama WUF diadakan di sebuah bandaraya mega, kerana Kaherah merupakan kawasan metropolitan terbesar di Afrika dan Timur Tengah.
Kuala Lumpur pernah menjadi hos forum ini pada penganjurannya kali ke 9 pada tahun 2017.