Kafe 'ingat' mati

Sinar Harian
Mei 6, 2018 08:02 MYT
Pelanggan kafe boleh berada di dalam keranda selama mana mereka mahu sambil merenung semula apa tujuan hidup masing-masing. - Foto Sinar Harian
Sebuah kafe bertemakan 'kematian' di Bangkok menawarkan pengalaman luar biasa kepada pelanggan berbaring di dalam keranda dan mendapat diskaun bagi minuman yang dipesan mereka.
"Matlamat utama kami adalah untuk menyampaikan falsafah Buddha bahawa kesedaran tentang kematian mengurangkan ketamakan dan kemarahan," kata pencetus idea di sebalik Kid Mai Death Awareness Cafe, Veeranut Rojanaprapa.
Kafe yang mula beroperasi sejak Januari lalu itu turut menawarkan minuman seperti 'kelahiran', 'kematian', 'umur tua' dan 'derita' selain keranda berwarna putih yang menjadi tarikan utama di premis tersebut, lapor NDTV.
Menurutnya, pelayan kafe itu akan membantu mana-mana pelanggan yang mahu berbaring dalam keranda tersebut.
"Mereka boleh berada di dalam keranda itu selama mana mereka mahu sambil merenung semula apa tujuan hidup masing-masing," ujarnya.
Jelasnya lagi, pelanggan juga boleh berkongsi reaksi mereka menerusi buku skrap yang disediakan pada keranda tersebut.
"Pelanggan boleh menyatakan hasrat terakhir mereka, rancangan untuk pengebumian atau menulis surat yang akan dihantar selepas 10 tahun," menurutnya.
#Bangkok #diskaun #kafe #kematian #keranda #mati #minuman #Thailand #tujuan hidup
;