Kadar pengangguran di UK meningkat secara mengejut

Bernama
Jun 11, 2024 19:25 MYT
Peningkatan terbaharu ini menafikan jangkaan kadar pengangguran akan kekal tidak berubah dan melihatnya mencapai tahap tertinggi sejak Julai hingga September 2021. - Gambar hiasan/ Reuters
LONDON: Kadar pengangguran di Britain meningkat secara tidak dijangka ke tahap tertinggi sejak musim panas 2021 ketika pasaran pekerjaan terus melemah, walaupun pertumbuhan gaji kekal kukuh, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).
Pejabat Statistik Kebangsaan (ONS) berkata kadar pengangguran UK meningkat kepada 4.4 peratus dalam tiga bulan hingga April, naik daripada 4.3 peratus dalam tiga bulan hingga Mac.
Peningkatan terbaharu ini menafikan jangkaan kadar pengangguran akan kekal tidak berubah dan melihatnya mencapai tahap tertinggi sejak Julai hingga September 2021.
Kekosongan jawatan juga jatuh mendadak sekali lagi, turun sebanyak 12,000 kepada 904,000 dalam tiga bulan hingga Mei, menandakan kejatuhan kali ke-23 berturut-turut.
Namun, angka menunjukkan pertumbuhan pendapatan biasa kekal tidak berubah pada enam peratus dalam tiga bulan hingga April dan terus mengatasi kenaikan harga - naik 2.9 peratus apabila mengambil kira inflasi Indeks Harga Pengguna (CPI), yang merupakan tertinggi sejak tiga bulan hingga Ogos 2021.
ONS berkata: "Angka bulan ini terus menunjukkan tanda-tanda bahawa pasaran buruh mungkin sedang menyejuk, dengan bilangan kekosongan masih jatuh dan pengangguran meningkat, walaupun pertumbuhan pendapatan kekal agak kukuh."
--BERNAMA-dpa
#kadar pengangguran meningkat #UK #United Kingdom #pasaran pekerjaan melemah
;