Kabinet UAE luluskan cadangan tubuh kedutaan di Israel

Astro Awani
Januari 24, 2021 06:21 MYT
Perjanjian penerbangan sebelum ini membenarkan sehingga 112 penerbangan mingguan di antara kedua-dua negara. -Gambar fail
ABU DHABI: Majlis Menteri Emiriah Arab Bersatu (UAE) memberi lampu hijau untuk membuka kedutaan di Tel Aviv, Israel.
Ia selepas kedua-dua negara menandatangani perjanjian normalisasi lebih empat bulan lalu, lapor Reuters.
Perkara itu diumumkan di Twitter rasmi pemerintah UAE pada Ahad selepas mesyuarat yang dipengerusikan wakil Presiden UAE, Perdana Menteri, dan Raja Dubai Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum.
UAE dan Israel menormalisasikan hubungan dua hala melalui Perjanjian Abraham pada September tahun lalu di Washington.
Sejak itu, beberapa delegasi dari UAE dan Israel telah bertemu untuk menandatangani perjanjian dua hala mengenai perdagangan dan pelaburan, pelancongan, penerbangan langsung, keselamatan, telekomunikasi, teknologi, tenaga, penjagaan kesihatan, budaya, alam sekitar, penubuhan kedutaan, dan bidang-bidang lain.
Sementara itu, syarikat penerbangan utama UAE, termasuk Emirates dan Etihad, dijangka memulakan penerbangan komersial ke Tel Aviv pada suku pertama 2021.
Perjanjian penerbangan sebelum ini membenarkan sehingga 112 penerbangan mingguan di antara kedua-dua negara.
Sementara itu, Israel telah membuka kedutaan di UAE pada Ahad, menurut kenyataan Kementerian Luar negara itu.
"Hari ini kedutaan Israel di Abu Dhabi telah dibuka secara rasmi, dengan kedatangan ketua misi Eitan Naeh.
"Kedutaan Israel di Emiriah Arab Bersatu akan memajukan hubungan antara negara di semua peringkat."
#UAE buka kedutaan di Tel Aviv #Emiriah Arab Bersatu #perjanjian normalisasi #Raja Dubai #Sheikh Mohammed #Perjanjian Abraham
;