Kabinet Thailand luluskan pindaan undang-undang doping

Bernama
Disember 28, 2021 04:01 MYT
Pada Oktober, WADA mengisytiharkan Thailand gagal mematuhi Kod Anti-Doping Dunia 2021 kerana pelaksanaan sepenuhnya Kod Anti-Doping Dunia 2021 tidak memadai.
BANGKOK: Kabinet Thailand hari ini meluluskan pindaan kepada Akta Kawalan Doping Sukan 2012 dalam usaha menamatkan sekatan yang dikenakan oleh Agensi Anti-Doping Dunia (WADA).
Jurucakap Kerajaan Thanakorn Wangboonkongchana berkata pindaan dibuat pada 24 bahagian akta untuk mematuhi Kod Anti-Doping Dunia 2021.
"Sebaik sahaja proses pindaan selesai, Pihak Berkuasa Sukan Thailand akan berhubung dengan WADA mengenai penarikan balik sekatan itu, termasuk penggunaan bendera negara di acara sukan antarabangsa, khususnya di Sukan Asia yang akan berlangsung di Republik Rakyat China pada 2022," katanya dalam satu kenyataan.
Pada Oktober, WADA mengisytiharkan Thailand gagal mematuhi Kod Anti-Doping Dunia 2021 kerana pelaksanaan sepenuhnya Kod Anti-Doping Dunia 2021 tidak memadai.
Berikutan larangan itu, Thailand tidak layak untuk diberikan hak menjadi tuan rumah acara sukan utama serantau dan antarabangsa sepanjang tempoh penggantungan itu.
Selain itu, Thailand juga kehilangan keistimewaan WADA, termasuk keahlian wakil mereka kepada lembaga, jawatankuasa, badan atau persatuan sehingga penggantungan negara mereka ditarik semula atau untuk tempoh setahun, mana-mana yang lebih lama.
Walaupun dikenakan larangan itu, atlet Thailand dibenar bertanding dalam kejohanan serantau, benua atau dunia tetapi bendera negara mereka tidak akan dibenarkan berkibar selain di Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik sehingga penggantungan ditamatkan.
Disebabkan larangan itu, hanya bendera Persatuan Badminton Thailand dinaikkan semasa majlis penganugerahan selepas beregu campuran, Dechapol Puavaranukroh dan Sapsiree Taerattanachai, memenangi kejuaraan dunia pertama mereka pada Kejohanan Dunia BWF di Huelva, Sepanyol pada pertengahan Disember.
-- BERNAMA
#doping #sukan #Thailand #WADA
;