Kabinet Thailand akan bincang langkah hadapi pencemaran udara

Bernama
Januari 21, 2025 21:47 MYT
Situasi pencemaran udara di Bangkok mencetuskan kegelisahan tentang masalah kesihatan dan mengubah rutin masyarakat. - Reuters
BANGKOK: Kementerian Kesihatan Awam Thailand akan mengadakan mesyuarat bagi menangani masalah pencemaran udara yang semakin buruk di negara itu, dengan memberi tumpuan kepada tahap tinggi zarah halus PM2.5.
Menterinya, Somsak Thepsuthin berkata Jawatankuasa Penyakit Pekerjaan dan Penyakit Alam Sekitar kementerian, yang dipengerusikannya akan bermesyuarat esok untuk merumuskan langkah-langkah bagi mengurangkan kesan pencemaran PM2.5.
"Salah satu cadangan utama ialah membenarkan pelaksanaan Bekerja Dari Rumah (WFH) secara menyeluruh di seluruh negara," katanya kepada pemberita di Rumah Kerajaan pada Selasa.
Somsak menjelaskan inisiatif ini bertujuan memberikan agensi kerajaan rangka kerja untuk menetapkan dasar WFH berdasarkan bukti saintifik dan data kesihatan awam.
"Banyak agensi teragak-agak untuk membuat keputusan sebegini secara sendiri. Namun, jika sektor awam mengambil langkah awal, saya yakin syarikat swasta akan mengikutinya," katanya.
Memetik data Universiti Chicago, Somsak memberi amaran bahawa pendedahan berpanjangan kepada tahap PM2.5 yang meningkat daripada 37.5 mikrogram kepada tambahan 10 mikrogram boleh memendekkan purata jangka hayat sebanyak 1.03 tahun.
Beliau berkata hasil mesyuarat itu akan dibentangkan pada Mesyuarat Kabinet yang dijadualkan pada 28 Januari.
Beliau turut menggesa orang ramai memakai pelitup muka N95 untuk melindungi diri daripada zarah halus yang berbahaya.
Sementara itu, jurucakap Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) Aekvarunyoo Amrapala mengumumkan pada Selasa yang bandar raya itu akan melanjutkan dasar WFH dari 22 hingga 24 Jan untuk mengurangkan pencemaran udara yang berpunca terutamanya daripada trafik kenderaan yang padat, sumber utama PM2.5.
Aekvarunyoo mendedahkan pemantauan kualiti udara pada 20 dan 21 Januari menunjukkan tahap PM2.5 melebihi piawaian keselamatan di semua 50 daerah di Bangkok, dengan dua daerah mencatatkan tahap berbahaya (merah), manakala 48 daerah lagi diklasifikasikan sebagai tidak sihat (jingga).
"Sehingga kini, 278 organisasi, melibatkan 96,307 individu - 48 peratus daripada sasaran menyertai rangkaian WFH. BMA menyasarkan untuk meningkatkan penyertaan kepada 200,000 dan mengalu-alukan pendaftaran tambahan melalui pautan yang disediakan," katanya.
Jumaat lepas, BMA menyeru agensi kerajaan, sektor swasta dan orang awam untuk melaksanakan WFH pada 20 dan 21 Januari sebagai persediaan menghadapi tahap pencemaran PM2.5 yang tinggi di bandar raya ini.
-- BERNAMA
#Bangkok #jerebu #pencemaran udara #udara kotor
;