Kabinet Taiwan letak jawatan

Bernama
Mei 16, 2024 19:14 MYT
Semasa Mesyuarat Eksekutif Yuan, Chen dan jemaah menteri Taiwan menandatangani perjanjian peletakan jawatan, menandakan permulaan fasa terakhir Kabinet sebagai kerajaan sementara. - Gambar fail/FB
TAIPEI: Perdana Menteri Taiwan Chen Chien-jen dan Kabinetnya pada Khamis meletak jawatan semasa mesyuarat Eksekutif Yuan sebelum penyusunan semula kerajaan menjelang penggal baharu dan angkat sumpah Presiden terpilih, Lai Ching-te pada 20 Mei, lapor Agensi Berita Pusat (CNA).
Semasa mesyuarat itu, Chen dan jemaah menteri meluluskan laporan mengenai pencapaian Presiden Tsai Ing-wen yang menamatkan penggal kedua dan terakhir pentadbirannya selama lapan tahun.
Mereka kemudian menandatangani perjanjian peletakan jawatan, menandakan permulaan fasa terakhir Kabinet sebagai kerajaan sementara.
Sementara itu, enam pegawai kerajaan tempatan yang juga hadir dalam mesyuarat itu, termasuk Datuk Bandar Taichung Lu Shiow-yen, Timbalan Datuk Bandar Taipei Lin Yi-hua dan Timbalan Datuk Bandar Taoyuan Su Jun-bin, menyatakan penghargaan kepada Chen atas dedikasinya kepada komuniti tempatan.
-- BERNAMA
#kabinet Taiwan #letak jawatan #Chen Chien-jen #Perdana Menteri Taiwan #penyusunan semula kerajaan
;