Kabinet Perang Israel, Netanyahu punya pilihan terhad - AS
Astro Awani
Jun 18, 2024 08:40 MYT
Jun 18, 2024 08:40 MYT
WASHINGTON: White House berkata, Perdana Menteri Israel mempunyai pilihan yang terhad berhubung Kabinet Perangnya selepas keputusan bekas Jeneral Benny Gantz meletakkan jawatan.
Menurut jurucakap Keselamatan Negara White House John Kirby, Benjamin Netanyahu akan mengambil tindakan menyeluruh dalam pembubaran enam ahli Kabinetnya.
"Kabinet Perang ini adalah langkah dalaman yang diambil oleh Perdana Menteri (Israel) sebagai barisan yang boleh memberinya nasihat mengenai perang.
"Kami percaya ia adalah langkah yang berbaloi dan kami masih berpegang pada itu. Tetapi dengan keputusan Gantz untuk meletak jawatan, saya tidak pasti bahawa Perdana Menteri Netanyahu mempunyai banyak pilihan lain," katanya.
Netanyahu kini dijangka mengadakan rundingan mengenai perang Gaza dengan sekumpulan kecil menteri, termasuk Menteri Pertahanan, Yoav Gallant dan Menteri Hal Ehwal Strategik Ron Dermer yang pernah berada di dalam Kabinet Perang.
Tindakan itu diumumkan ketika utusan khas Amerika Syarikat, Amos Hochstein melawat Baitulmaqdis, dalam usaha untuk menenangkan keadaan di sempadan yang dipertikaikan dengan Lubnan, di mana Israel berkata ketegangan dengan tentera Hezbollah, yang disokong Iran, membawa rantau itu hampir kepada konflik yang lebih besar.
Kirby akui AS bimbang tentang peningkatan serangan daripada Hezbollah tetapi setakat ini mereka belum melihat kumpulan itu terlibat sepenuhnya.
Tentera Israel mendakwa telah membunuh seorang pegawai kanan Hezbollah di kawasan Selaa di selatan Lubnan.