Kabinet Mesir letak jawatan, PM Mesir dilantik semula untuk bentuk kerajaan baharu
Bernama
Jun 3, 2024 22:19 MYT
Jun 3, 2024 22:19 MYT
KAHERAH: Perdana Menteri Mesir, Mostafa Madbouly telah menyerahkan surat peletakan jawatan Kabinetnya pada Isnin, lapor Agensi Anadolu (AA) menurut kenyataan presiden.
Presiden Abdel-Fattah al-Sisi menerima peletakan jawatan itu dan menugaskan Madbouly yang telah menjadi perdana menteri sejak 2018 untuk membentuk kerajaan baharu "dengan menteri-menteri yang mempunyai kompetensi, pengalaman, dan keupayaan yang cemerlang," menurut kenyataan itu.
Al-Sisi meminta kerajaan baharu itu untuk mencapai beberapa matlamat, termasuk menjaga keselamatan negara, membuat pembaharuan ekonomi, menggalakkan pertumbuhan sektor swasta, dan berusaha mengurangkan kenaikan harga dan inflasi serta mengawal pasaran, kata kenyataan itu lagi.
-- BERNAMA