Kabinet India luluskan hukuman mati bagi kes rogol

AFP
Februari 2, 2013 10:27 MYT
Kabinet India telah meluluskan hukuman berat kepada perogol, termasuk melaksanakan hukuman mati, selepas kejadian rogol beramai-ramai di New Delhi yang telah mencetuskan ketegangan seluruh negara.
Sebuah panel yang dilantik kerajaan telah mencadangkan perubahan itu kepada barisan kabinet selepas kematian wanita berumur 23 tahun yang telah dengan kejamnya di rogol dan diserang dalam sebuah bas pada 16 Disember lalu yang akhirnya membawa kepada kematian beliau, dua minggu berikutnya.
Kes itu ternyata membawa kepada kemarahan orang ramai yang bertindak mengadakan demonstrasi protes menuntut keselamatan yang lebih kepada wanita.
Perubahan itu bagaimana pun harus diluluskan oleh Presiden Pranab Mukherjee untuk dijadikan undang-undang, ianya merangkumi menggandakan hukuman minimum untuk jenayah rogol beramai-ramai dan menguatkuasakan hukuman mati jika mangsa terbunuh atau dibiarkan dalam keadaan yang menyeksakan.
“Kami telah mengambil tindakan setimpal dan diharapkan langkah ini mampu membuatkan wanita dalam negara ini berasa selamat,” kata Menteri Perundangan, Ashwani Kumar kepada pemberita, pada Jumaat.
Beliau menambah “Ini merupakan langkah perundangan yang progresif dan konsisten dengan rasa sensitif masyarakat selepas kejadian luar biasa itu itu,”.
Perubahan terhadap undang-undang rogol itu dijangka akan diluluskan oleh Mukherjee seawal minggu ini tetapi ianya harus disahkan oleh parlimen atau ianya akan menghadapi masalah unutuk diluluskan.
Melalui perubahan itu, hukuman minimum untuk kes rogol beramai-ramai, mahupun kes rogol yang dilakukan oleh polis atau orang yang mempunyai kuasa dan yang melibatkan mangsa dibawah umur akan digandakan ke 20 tahun dari 10 tahun sahaja dan ianya juga boleh dilanjutkan ke seumur hidup tanpa parol.
Dibawah undang-undang sekarang, seorang perogol boleh dijatuhkan hukuman dari tujuh tahun hingga ke 10 tahun.
Kabinet India juga telah mewujudkan set kesalahan yang akan diwartakan menjadi undang-undang melibatkan perbuatan salah laku seks seperti mengintai.
Lima lelaki telah dihadapkan ke mahkamah khas di New Delhi bagi pertuduhan membunuh, menculik dan merogol melibatkan seorang pelajar yang meninggal dunia setelah diterbangkan ke hospital di Singapura untuk rawatan susulan.
Suspek keenam pula telah dihadapkan ke mahkamah juvana.
India hanya menguatkuasakan hukuman mati kepada “kes-kes luar biasa dan tertentu”.
Tiga bulan lalu, seorang penyerang yang terlibat dalam kejadian serangan pengganas di Mumbai pada 2008 telah digantung sampai mati dan ianya merupakan hukuman gantung sampai mati yang pertama dilaksanakan sepanjang lapan tahun belakangan ini.
#Hukuman #hukuman mati #India #rogol