Kabinet Cyprus tarik balik kewarganegaraan Jho Low
Astro Awani
Mei 19, 2023 18:29 MYT
Mei 19, 2023 18:29 MYT
KUALA LUMPUR: Kabinet Cyprus pada Khamis dilaporkan menarik balik status kewarganegaraan yang diberikan kepada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.
Menurut laporan The Cyprus Mail, sumber mengesahkan pembatalan pasportnya dan berkata keputusan itu dibuat berdasarkan syor Menteri Dalam Negeri, Nicos Nouris.
Sebelum itu, Cyprus News Agency (CNA) melaporkan keputusan berkenaan dibuat selepas Menteri Dalam Negeri menerima maklumat baharu berkenaan Jho Low.
CNA mendakwa, kerajaan Cyprus pada Mac menyedari ia kekurangan bukti untuk menerima kerakyatan Jho Low sebelum Kementerian Dalam Negeri menghubungi Interpol bagi mendapatkan data tambahan.
Berdasarkan data Interpol tersebut, kementerian tersebut kemudian mengesyorkan pembatalan pasport Jho Low.
The Cyprus Mail menambah, walaupun dilabelkan "individu berisiko tinggi", tetapi ada pihak di Cyprus memfailkan permohonan kewarganegaraan bagi pihak Jho Low.
Portal itu juga mendakwa ahli perniagaan tersebut memindahkan hampir 6 juta euro ke sebuah akaun di Bank of Cyprus, selain membeli sebuah banglo tepi pantai di Ayia Napa pada harga 5 juta euro dan mendapat kewarganegaraan beberapa hari kemudian.
Jho Low telah diberikan kewarganegaraan Cyprus pada 2015.
Jho Low diburu kerana dikaitkan dengan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd.