Kabinet baharu Itali menang undi percaya di dewan perwakilan

Bernama
Oktober 26, 2022 19:41 MYT
Meloni, pemimpin Brothers of Italy merupakan wanita pertama dilantik sebagai perdana menteri di negara itu. - AP
ROME: Anggota Kabinet baharu Itali diketuai Perdana Menteri Giorgia Meloni memenangi undi percaya di dewan perwakilan pada Selasa, dengan 235 Ahli Parlimen menyokong, manakala 154 lagi menentang dan lima berkecuali, lapor Xinhua.
Bagaimanapun, anggota Kabinet berkenaan perlu memenangi usul undi percaya kedua di Senat pada Rabu sebelum dapat menjalankan tugas sepenuhnya.
Menjelang tempoh pengundian, Meloni menggariskan perkara utama yang bakal dilaksanakan kerajaannya, berikrar untuk memimpin negara sebaik mungkin dengan melalui apa yang disifatkannya sebagai detik paling sukar dalam tempoh beberapa dekad.
Beliau juga berjanji untuk mematuhi peraturan Kesatuan Eropah (EU).
Meloni, pemimpin Brothers of Italy merupakan wanita pertama dilantik sebagai perdana menteri di negara itu.
Beliau memperoleh 26 peratus undi dalam pilihan raya awal yang diadakan pada 25 Sept.
Oleh itu, Presiden Sergio Mattarella melantik Meloni memimpin kerajaan pada 22 Okt.
Dalam ucapan sulungnya menjelang undi percaya, Meloni menegaskan bahawa Itali akan terus bergerak seiringan dengan negara-negara Barat.
"Itali merupakan sebahagian daripada Barat, antara pengasas Kesatuan Eropah, eurozone dan pakatan Atlantik (Utara)," katanya.
Sementara itu di peringkat domestik, Meloni berkata keutamaan kerajaan termasuk pembaharuan perlembagaan dengan memperkenalkan sistem presiden, sistem "flat-tax" yang lebih luas, dan meningkatkan sokongan untuk isi rumah dan golongan wanita dalam pasaran pekerjaan.
-- BERNAMA
#Kabinet Itali #undi tidak percaya #Giorgia Meloni #Perdana Menteri Itali
;