Jutawan Jepun cari kru kapal dalam 'misi menyeronokkan' ke bulan

Astro Awani
Mac 3, 2021 11:41 MYT
Maezawa berkata tawaran itu dibuka kepada mereka yang berminat sekali gus mahu merealisasikan misi pertama yang dilakukan secara komersial. - Gambar REUTERS
TOKYO: Seorang jutawan dari Jepun menganjurkan pertandingan bagi memilih lapan anak kapal bagi menyertai beliau dalam misi menyeronokkan ke bulan.
Yusaku Maezawa yang juga pengasas peruncit fesyen dalam talian Zozo berkata tawaran itu dibuka kepada mereka yang berminat, sekali gus mahu merealisasikan misi pertama SpaceX yang dilakukan secara komersial.
"Tawaran dibuka kepada 10 hingga 12 orang, namun hanya lapan orang sahaja yang akan dibawa untuk menyertai perjalanan itu.
"Kriteria yang dipilih adalah daripada pelbagai latar-belakang untuk bergabung bagi menjayakan misi ini selama enam hari di sekitar bulan.
"Saya berharap agar usaha ini dapat direalisasikan secara bersama," katanya yang dipetik Bloomberg dan Reuters pada Rabu.
Maezawa berkata permohonan itu telah dibuka dan ujian saringan pertama akan bermula 21 Mac ini dengan sesi temu duga dan disusuli dengan pemeriksaan kesihatan pada Mei depan.
"Berdasarkan perancangan awal, saya mahu mengundang artis untuk menyertai pelayaran ini yang dijadualkan pada tahun 2023.
"Ini kerana, saya akan membayar keseluruhan kos perjalanan ini serta melancarkan generasi baharu SpaceX," ujarnya.
#Jutawan Jepun #yusaku maezawa #misi mengelilingi bulan #SpaceX #2023 #pengasas peruncit fesyen #Zozo #generasi baharu
;